• Arissa Azman

Album baharu Adele rakam kisah kehancuran rumah tangga

10 Oktober 2021

PENYANYI Adele memaklumkan album baharunya dirakam dengan hasrat membantu anaknya yang berusia sembilan tahun memahami mengapa kedua ibu bapanya bercerai.


"Saya ingin menjelaskan kepadanya, apabila dia berusia dua puluh tahun atau tiga puluh tahun nanti, siapa saya dan mengapa saya perlu mengejar kebahagiaan saya sendiri.


"Saya tahu dia tidak selesa. Dan itulah yang melukakan saya dan saya tidak tahu adakah luka itu akan sembuh," katanya dalam temuramah dengan Vogue.


Adele mengumumkan single terbaharunya yang dinanti-nantikan ramai berjudul ‘Easy On Me’, akan dilancarkan 15 Oktober ini, sekaligus menjadi kemunculan semulanya sejak kali terakhir menemui peminat dengan album '25' pada 2015.


Album bertajuk 30 itu, membawa simbol usianya ketika mengahwini Simon Konecki, sebelum bercerai dua tahun kemudian.


"Seluruh hidup saya hancur, dan ia datang tanpa amaran," kata penyanyi berusia 33 tahun itu.

Ketika ditanya mengapa dia memutuskan untuk menamatkan perkahwinan itu, Adele menolak untuk mendedahkannya dan menyifatkan ia sesuatu yang 'memalukan'.


Keterujaan peminat menantikan kemunculan semula Adele semakin meningkat selepas dia kembali mengemaskini laman media sosialnya, pada 4 Oktober lalu.


Minggu lalu, imej nombor “30” muncul di beberapa bangunan ikonik di seluruh dunia malah peminat juga mendakwa imej itu dapat dilihat di Menara Berkembar Petronas.