Ali Biju Tarik Diri
9 Disember 2021
KUCHING – Datuk Ali Biju mengumumkan menarik diri sebagai calon Bebas bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Krian hari ini, dan akan memberi sokongan penuh kepada calon Gabungan Parti Sarawak (GPS), Friday Belik.
Ali yang juga Timbalan Menteri Tenaga dan Sumber Asli berkata, keputusannya itu bagi memelihara muafakat serta memperkukuh hubungan antara Perikatan Nasional (PN) dan GPS.
“Saya mendapat nasihat pimpinan tertinggi parti serta jaminan Presiden BERSATU yang juga Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengenai persefahaman kerangka besar politik nasional yang disepakati antara PN dan Tan Sri Abang Johari Openg selaku Pengerusi GPS.
“Saya penuh yakin muafakat ini adalah untuk meneruskan dan memperkukuh hubungan utuh antara PN dan GPS.
“Justeru, saya dengan rendah hati dan niat yang tulus ikhlas menarik diri sebagai calon DUN Krian dan memberi dukungan penuh kepada calon GPS, Friday Belik,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Isnin lalu, Ahli Parlimen Saratok itu menawarkan diri bertanding sebagai calon Bebas di kerusi DUN Krian yang menyaksikan persaingan empat penjuru daripada Musa Dinggat (Parti Sarawak Bersatu), Danny Kuan (Parti Bumi Kenyalang) dan Friday.
Ali berkata, keputusannya menawarkan diri sebagai calon Bebas di DUN Krian dibuat selepas mengambil kira pandangan dan desakan pimpinan masyarakat dan pengundi.
Sebagai wakil rakyat yang dipilih sejak 2011, katanya, dukungan dan sokongan padu itu memperkukuh tekadnya untuk meneruskan khidmat demi kesejahteraan rakyat dan pembangunan ekonomi di Krian dan Saratok.
“Bagaimanapun, saya menginsafi hakikat keputusan itu akan menjejaskan hubungan baik di antara BERSATU dan GPS.
“Saya harap seluruh pengundi di DUN Krian, DUN Kalaka dan DUN Kabong yang semuanya di bawah Parlimen Saratok untuk memberi dukungan padu kepada calon GPS,” katanya.
Comments