top of page
  • newsatmy

Aliran wang haram Malaysia antara tertinggi di dunia


KUALA LUMPUR, 21 Feb- Jumlah pengaliran wang haram yang dibawa keluar dari Malaysia untuk disembunyikan di bank dan akaun luar pesisir antara yang tertinggi di dunia. Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendedahan itu berdasarkan laporan daripada Integriti Kewangan Global (GFI), Pandora Papers Panama dan Pandora Papers. Jelasnya, jumlah wang dari Malaysia dalam laporan GFI sehingga pendedahan Pandora Papers itu agak tinggi berbanding jumlah penduduk dan kedudukan ekonomi. "Ada yang sebut seperti negara China, Arab Saudi dan beberapa negara lain, tetapi Malaysia tu di tingkat atas, maknanya wang yang dibawa keluar dari Malaysia itu dari sumber-sumber yang dianggap haram. Saya bagi jaminan bahawa dari sudut badan-badan yang telah melapor pada saya, arahan saya itu jelas, jangan sambil lewa dan biar ini jadi satu pengajaran, negara tak mampu lagi mengizinkan hal-hal ini diteruskan," katanya ketika menjawab soalan tambahan wakil Kubang Kerian, Datuk Seri Tuan Ibrahim di Parlimen.


Datuk Seri Anwar turut menjawab pertanyaan wakil Parit Sulong, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berhubung pendirian kerajaan dan tindakan susulan mengenai isu Pandora Papers yang timbul semula minggu lalu. Tegas Perdana Menteri, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) diarah untuk terus menjalankan siasatan rapi melibatkan isu berkenaan. Menurut beliau, tindakan tegas perlu diambil tanpa melindungi mana-mana pihak. "Beberapa penama yang terlibat ialah mereka yang pernah memegang jawatan dalam kerajaan. Kalau tindakan diambil tanpa fakta, maka itu boleh dicabar sebagai penyalahgunaan kuasa atau kita katakan motif politik. "Tetapi kalau wang ratus bilion atau ratus juta ringgit dikeluarkan, dibiar dilindungi kerana dia menyokong kita, itu membawa porak-peranda dan malapetaka kepada negara. Nama-nama yang disebut Pandora Papers itu mencecah 300 orang, ada yang sahih, ada yang peniaga, tetapi kita tumpu kepada tokoh-tokoh politik yang besar, mantan perdana menteri, menteri kewangan, menteri-menteri yang sebenarnya dipercayai menyalahguna kuasa mereka dan memunggah kekayaan semasa mereka punya kuasa," katanya.

bottom of page