top of page
  • cik skod

All England: Prestasi Tze Yong mampu bakar semangat pemain muda


KUALA LUMPUR, 17 Mac - Kejayaan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong menewaskan juara bertahan All England, Victor Axelson mampu jadi pembakar semangat kem badminton negara yang bakal berentap di Kemboja, menjelang Mei ini. Timbalan Ketua Kontinjen Malaysia, Sharon Wee berkata, pencapaian tersebut akan menyemarakkan lagi keyakinan para pemain muda negara. "Saya harap kontinjen badminton Sukan SEA akan mengikut jejak langkah Tze Yong, tidak takut serta gentar berdepan pemain ranking tinggi. "Atlet perlu percaya kepada proses latihan serta diri mereka kerana apa jua boleh berlaku dalam sukan asalkan beri 150 peratus di gelanggang," katanya sempena lawatan ke sesi latihan skuad badminton di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, hari ini. Sementara itu, bagi Pengarah Kejurulatihan Perseorangan ABM, Wong Choong Hann pihaknya enggan terlalu cepat berpuas hati kerana perjalanannya masih lagi jauh. "Tidak mahu terlalu gembira kerana kami percaya masih banyak yang perlu ditempuhi. Perlu kekal fokus, merendah diri dan terus belajar kerana Tze Yong memang ada potensi namun dalam masa sama masih banyak perlu diperbaiki. "Jadi perlu terus berusaha," katanya. Terdahulu, Tze Yong yang membuat penampilan pertama di kejohanan berprestij itu mencipta sensasi apabila menyingkirkan Axelsen yang juga juara bertahan di pusingan kedua menerusi kemenangan 21-15, 9-21, 23-21 di Arena Utilita Birmingham malam Khamis. Turut layak ke suku akhir, seorang lagi pemain perseorangan, Lee Zii Jia.


bottom of page