top of page
  • Writer's pictureNihaba

Allah Tak Akan Uji Hambanya Melebihi Kemampuan


Kejadian bunuh diri dalam kalangan masyarakat di negara ini yang dilihat masih berterusan sepanjang tempoh penularan wabak pandemik Covid-19 sangat membimbangkan. Data Polis Diraja Malaysia (PDRM) menunjukkan kes bunuh diri pada tahun 2019 adalah sebanyak 609 manakala tahun 2020 sebanyak 631 kes dan bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini pula sebanyak 468 kes dilaporkan. Secara purata dua kes dilaporkan berlaku setiap hari sejak 2019 hingga Mei 2021. Malah hampir setiap hari berita melaporkan kejadian bunuh diri atau cubaan membunuh diri ibarat seperti budaya baru di dalam masyarakat kita. Secara keseluruhan sejak 25 Mac hingga hujung Ogos lalu, sebanyak 11,791 panggilan telah diterima oleh talian-talian berkenaan dan setiap pemanggil mempunyai purata tiga isu dengan 50 peratus isu yang dirujuk memerlukan sokongan emosi serta kaunseling seperti stres, risau dan putus harapan.


Tidak dapat kita nafikan, pandemik Covid-19 yang memasuki gelombang ketiga hingga menyebabkan proklamasi darurat memberi kesan terhadap mental sesetengah masyarakat. Hilang pekerjaan, kurangnya pendapatan serta komitmen yang tinggi terhadap keluarga sudah pasti akan memberi kesan kepada kesihatan mental kepada setiap individu yang terkesan. Bukan itu sahaja, individu yang dijangkiti virus tersebut turut terkesan apabila perlu menjalani tempoh rawatan dan kuarantin.


Namun, mereka yang telah sembuh juga boleh mengalami masalah mental. Ini berpunca daripada penolakan masyarakat itu sendiri yang enggan menerima bekas pesakit Covid-19 yang telah sembuh ke dalam komuniti mereka kerana bimbang akan penularan virus tersebut. Adakah trend ini juga berlaku di negara-negara lain?


Di Jepun, jumlah kes bunuh diri meningkat buat pertama kalinya dalam tempoh lebih sedekad pada tahun lalu, tatkala dunia dilanda pandemik COVID-19. Data awal Kementerian Kesihatan dan Kebajikan Jepun baru-baru ini mendedahkan seramai 20,919 orang mati kerana membunuh diri pada tahun lalu. Ia menyaksikan jumlah kes bunuh diri naik 3.7 peratus berbanding tahun sebelumnya, manakala sebanyak 3,460 kematian direkodkan akibat jangkitan COVID-19 pada tempoh sama. Angka itu menandakan peningkatan kes bunuh diri pertama tahun ke tahun dalam tempoh lebih sedekad, yang mana wanita dan kanak-kanak menyumbang kadar lebih tinggi.


Bilangan kes bunuh diri di Singapura pula lebih menjurus kepada golongan yang berusia 20-an kekal yang tertinggi pada tahun lalu berbanding kumpulan usia yang lain, menurut Samaritans of Singapore (SOS). Seramai 71 orang yang berusia antara 20 hingga 29 tahun mati bunuh diri pada 2019. Sejumlah 400 kes bunuh diri dilaporkan pada 2019 berbanding 397 pada tahun sebelumnya. Kebanyakan kumpulan usia mencatat peningkatan kecil pada jumlah kes bunuh diri, malah di dalam kalangan mereka yang mendedahkan usia mereka, golongan yang berusia antara 20 hingga 29 tahun membentuk sekitar 17 peratus daripada jumlah panggilan ke talian hotline 24 jam SOS, menurut agensi itu lagi.


Sementara itu, Thai PBS World melaporkan, ketua pengarah jabatan tersebut, Dr. Kiartipoom Wongrachit berkata, peningkatan kadar bunuh diri di Thailand semakin membimbangkan dan menjadi antara tumpuan utama. Katanya, sebanyak 2,552 kes bunuh diri atau 3.89 dari setiap 100,000 populasi di negara ini dilaporkan dalam tempoh enam bulan pertama sejak pandemik Covid-19 melanda berbanding hanya 2,092 kes bagi tempoh sama tahun lalu. Peningkatan kadar bunuh diri pada tahun ini menunjukkan situasi sama pernah berlaku dalam krisis kewangan Thailand 1997 iaitu antara 20 hingga 30 peratus. Faktor kenaikan kes bunuh diri yang meningkat secara mendadak adalah berpunca daripada tekanan akibat pandemik Covid-19 menurut kajian Universiti Oxford.


Majoriti pakar kesihatan mendapati pandemik Covid-19 telah memberi kesan negatif kepada psikologi orang ramai di seluruh dunia dengan menyebabkan gejala kegelisahan, stress dan kemurungan akibat proses kuarantin yang panjang dan tekanan ekonomi yang berterusan. Orang ramai juga terdedah kepada gangguan emosi lain termasuklah perasaan mudah naik marah, kerisauan untuk dijangkiti dan menjangkiti virus tersebut, kesepian dan juga kecenderungan untuk membunuh diri. Data PDRM mendedahkan tiga punca utama bunuh diri adalah masalah keluarga, tekanan perasaaan dan kewangan dengan cara bunuh diri yang kerap dilakukan adalah gantung diri (75.1 peratus), terjun bangunan (13.6 peratus) dan minum racun (5.7 peratus) dan mangsa yang terlibat pula berusia antara 15 hingga 18 tahun seramai 872 manakala mangsa berumur 19 hingga 40 tahun pula seramai 668 orang.


Ya, di dalam menghadapi cabaran yang sebegitu besar dan berat ini, ada yang berasa hilang harapan dan semangat kerana beban yang digalas itu begitu perit dan pedih. Tekanan dan depresi ini ada di mana-mana, bukan di negara kita sahaja. Juga benar betapa berat mata memandang berat lagi bahu yang memikul, namun masyarakat perlu yakin bahawa masih ada kebaikan yang dapat diperoleh di sebalik kesukaran yang mereka sedang hadapi ketika ini. Bersama mengharungi cabaran, nasihat-menasihati adalah penting bagi individu yang mengalami masalah seperti kewangan, kesihatan, tekanan perasaan atau kemurungan bagi membendung bunuh diri. Setiap lapisan masyarakat perlu memainkan peranan dan perlu lebih cakna serta prihatin terhadap ahli keluarga dan orang sekeliling dalam mengenal pasti simptom awal kemurungan yang boleh menyumbang kepada tingkah laku bunuh diri. Ini termasuk perubahan tingkah laku kepada individu, sentiasa kelihatan sedih dan murung, hilang minat terhadap aktiviti biasa dilakukan, kesukaran untuk menumpukan perhatian atau melakukan tugas harian biasa serta mengasingkan diri daripada keluarga dan rakan.


Simptom-simptom seperti suka mengasingkan diri, mengalami gangguan tidur dan selera makan, bertindak agresif serta kasar kepada diri sendiri dan orang sekeliling dan menyalahguna alkohol dan dadah perlu diawasi pada orang sekeliling kita. Individu yang cenderung untuk membunuh diri juga didapati sering menyatakan perasaan hilang harapan atau bosan untuk hidup dan kehadirannya membebankan ahli keluarga; selain menyatakan keinginan untuk menamatkan riwayat hidup secara verbal atau penulisan.


Bersegeralah untuk mendapatkan nasihat perubatan professional bagi mengelakkan keadaan yang lebih buruk. Jangan sesekali mengambil mudah atau memperlekehkan masalah mereka, tunjukkan empati dan elakkan sikap menghakimi individu terbabit dan yang paling penting, manfaatkan penggunaan teknologi maklumat terkini bagi mengekalkan hubungan dengan mereka. Pada masa sama, berikan sokongan sosial kepada mereka seperti membantu dalam urusan seharian jika diperlukan dan galakkan serta bantu mereka untuk dapatkan penilaian dan rawatan professional.


Dalam keadaan seseorang hilang pekerjaan dan punca pendapatan serta berada dalam keadaan tekanan, ia akan mempengaruhi dinamik perhubungan individu berkenaan dengan ahli keluarga, kawan rapat dan masyarakat sekeliling. Perasaan atau emosi bercelaru memikirkan keadaan diri dan ketidaktentuan kehidupan. Rasa sedih, cemas, bimbang, marah dan pelbagai emosi negatif lain akan mudah terzahir apatah lagi bila ada faktor lain yang menambah kebarangkalian tingkah laku ‘buruk’ terjadi. Kesukaran menyara keluarga atau menyediakan kehidupan selesa serta menjamin kesejahteraan kewangan secukupnya boleh mencetuskan kegelisahan atau tekanan melampau kepada segelintir individu sehingga menjurus kepada keinginan untuk membunuh diri akibat rasa putus asa. Pada masa inilah, keluarga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan sokongan dan dorongan positif kepada ahli keluarga yang kehilangan pekerjaan atau punca pendapatan akibat pandemik Covid-19 bagi mengelakkan kepada tingkah laku bunuh diri.


Pihak media juga boleh memainkan peranan penting dalam menyebarkan maklumat tepat dan mematuhi garis panduan pelaporan media yang bertanggungjawab yang dikeluarkan oleh Bahagian Kawalan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenai tingkah laku bunuh diri. Hormati perasaan ahli keluarga mangsa dengan tidak merekodkan video atau mengedarkan gambar di media sosial berkaitan individu yang membunuh diri. Kesan akibat penularan video seumpama ini pastinya boleh mengundang 'copycat suicide' bagi mereka yang berisiko.


Orang ramai boleh menghubungi talian bantuan sokongan diwujudkan seperti MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392 serta Talian Kasih (15999) atau WhatsApp Talian Kasih di talian 019-2615999 bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumah tangga serta pelbagai masalah lain seperti penderaan. KSK-Care Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) melalui WhatsApp di talian 0111-9598214 serta Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929 juga boleh dihubungi jika menghadapi kesan sosio-ekonomi pandemik Covid-19.


Percayalah, kita akan dapat atasi cabaran ini kerana Tuhan tidak menduga kita jika kita tidak berupaya menghadapinya. Kita mesti menang.




--PN Online

bottom of page