top of page
  • Writer's pictureNizam

Amaran ancaman Omicron kepada ekonomi-IMF

5 Disember 2021

WASHINGTON: Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) melihat 'risiko penurunan' kepada lantunan semula ekonomi global yang diunjurkan bagi tahun ini dan hadapan, selain bimbang varian Omicron akan menjejaskan pemulihan, kata Ketua Ahli Ekonominya, Gita Gopinath.

"Kebanyakan daripada keseluruhan risiko terarah kepada penurunan," katanya dalam satu ucapan maya pada persidangan Forum Kewangan Antarabangsa di Guangzhou pada Sabtu.


Gopinath, yang akan mengambil alih jawatan kedua tertinggi IMF pada Januari berkata, Omicron mungkin meningkatkan risiko kepada tinjauan dan dunia juga akan melihat lebih banyak varian lebih agresif yang boleh menjejaskan lagi pemulihan.

Tinjauan kukuh pertumbuhan adalah penting kepada kerajaan untuk mengunjurkan hasil dan perbelanjaan di negara yang mana sejuta rakyatnya menyertai pasaran tenaga kerja setiap bulan.


Penyedia pinjaman yang berpangkalan di Washington itu menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global tahun ini kepada 5.9 peratus pada Oktober, apabila memberi amaran jurang antara negara kaya yang mempunyai akses lebih tinggi terhadap vaksin dengan negara miskin yang tidak mempunyai akses sedemikian.


Gita menggesa negara-negara supaya membantu meningkatkan kadar pelalian di Afrika, yang menyaksikan masih banyak negara kurang 40 peratus penduduk sudah divaksin, dengan memberikan sumbangan kepada program pengedaran vaksin global Covax.


Beliau juga menyeru supaya langkah diambil untuk menyediakan 400 juta dos menerusi pertukaran. Beliau turut mendesak supaya negara-negara menghentikan sekatan perdagangan bagi eksport dan import vaksin.

Bank pusat global perlu 'amat berhati-hati' dengan tekanan inflasi dan mengekalkan kebebasan dasar bagi memenuhi jangkaan, katanya.


Beliau berkata, inflasi yang meningkat pantas di Amerika Syarikat (AS) serta ketidaktentuan yang menyelubungi gangguan bekalan dan permintaan dalam beberapa bulan mendatang akan menyebabkan senario inflasi terus meningkat.

Katanya, ia akan mengakibatkan kesan limpahan negatif kepada negara-negara sedang pesat membangun, terutama negara yang terdedah dengan pinjaman mata wang asing.

"Ia khususnya penting supaya bank pusat utama menjelaskan dasar mereka lebih awal dan menerangkan tindakan masing-masing supaya pasaran tidak terjejas," kata Gita.

"Dasar monetari perlu mengambil kira keadaan tertentu negara yang bertindak balas terhadapnya."

Menurut Gita, negara-negara perlu menyesuaikan dasar monetari dan fiskal mengikut keadaan masing-masing, kerana terdapat perbezaan dari segi inflasi teras antara satu negara ke negara yang lain.


Beliau berkata, inflasi barangan mengatasi inflasi perkhidmatan di kebanyakan negara, sesuatu yang tidak kebiasaannya berlaku dan mencerminkan bahawa permintaan beralih kepada barangan berbanding perkhidmatan semasa pandemik.

-Bloomberg/BH

bottom of page