• newsatmy

AmInvestment kekal pendirian 'Overweight' terhadap sektor perbankan

7 Disember 2021

KUALA LUMPUR: AmInvestment Bank mengekekalkan pendirian 'Overweight' bagi sektor perbankan dengan tiga kumpulan kewangan terbesar menjadi antara belian teratas pilihannya.


Dalam nota penyelidikannya hari ini, AmInvestment meletakkan RHB Bank dengan nilai saksama sebanyak RM6.90 sesaham, Maybank (RM9.90/saham) dan Kumpulan CIMB (RM6.20/saham).


"Bagi bank bermodal yang lebih kecil, kami menyukai Alliance Bank dengan nilai saksama RM3.80/saham kerana penilaian yang tidak menuntut, meningkatkan prospek kualiti aset dan menormalkan pembayaran dividen," katanya dalam nota penyelidikannya di sini hari ini.


Menurut firma penganalisis itu lagi, pertumbuhan pinjaman industri meningkat kepada 3.3% tahun ke tahun (YoY) pada Oktober 2021 disumbangkan oleh pertumbuhan lebih kukuh bagi pinjaman isi rumah dan bukan isi rumah.


Katanya, pinjaman modal kerja terus mendapat momentum dan pertumbuhan pinjaman isi rumah meningkat kepada 3.7% YoY pada Oktober 2021.


Sementara itu, pertumbuhan pinjaman bukan isi rumah meningkat untuk bulan ke-2 berturut-turut kepada 2.9% YoY dengan kadar pinjaman modal kerja yang lebih kukuh.


"Sehingga kini, pinjaman industri telah berkembang sebanyak 3.7% dan berada dalam unjuran kami sebanyak 3.0–4.0% untuk 2021.


"Selepas pelonggaran sekatan pergerakan dan pembukaan sektor ekonomi pada Ogos 2021, permohonan dan kelulusan untuk pinjaman isi rumah terus bertambah baik.


"Sebaliknya, tahap permohonan dan kelulusan bagi pinjaman bukan isi rumah menurun," katanya.


Katanya lagi, pertumbuhan dalam pinjaman gadai janji dan pembiayaan sewa beli untuk pembelian kereta penumpang meningkat dengan pesat bulan lalu namun menyaksikan pertumbuhan yang lebih perlahan bagi pinjaman untuk pembelian sekuriti dan pinjaman peribadi.



Artikel asal di DagangNews.com