• newsatmy

Amy, Nasir minta Mozylir dan Home of Champions henti guna nama Search tanpa kebenaran

21 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Vokalis utama Search, Amy atau Suhaimi Abdul Rahman serta sahabat pasukannya, Nasir mengeluarkan tuntutan terhadap Mozylir Mokhtaruddin dan ‘Home of Champions’ untuk menghentikan kegiatan-kegiatan yang berkait dengan kumpulan rock terkemuka itu.


Menerusi satu kenyataan, kumpulan itu memaklumkan, Mozylir yang berniaga atas nama ‘Home of Champions’ telah menggunakan nama Search tanpa kebenaran Nasir, Amy dan waris-waris Allahyarham Yazit.


“Nasir dan Amy telah mendapat tahu bahawa Mozylir Mokhtaruddin atau Home of Champions telah menggunakan nama ‘fenomenasearch’ melalui laman web http://www.fenomenasearch.com dan menggunakan e-mel yang memakai nama domain fenomenasearch.com.


“Menjual pakaian-pakaian dan aksesori menggunakan nama Search atau imej-imej yang berkaitan dengan Search melalui, antara lainnya, beberapa laman web seperti http://www.fenomenasearch.com/shop; https://www.facebook.com/fbhomeofchampions/; Instagram: @homeofchampions.store; dan Shopee @homeofchampions.store.


“Menjual kasut “Aliph x SEARCH - Edisi 2021” atas dasar penjualan terhad kepada 999 unit,” memetik kenyataan itu.


Kumpulan legenda rock itu kini dianggotai oleh Amy, Yazit, Nasir, Hillary dan Nordin sebelum Hillary berundur selepas album ketiga, Mentari Merah Di Ufuk Timur dan diambil alih oleh Kid bermula sejak album keempat mereka, Fenomena.


Menurut kenyataan itu lagi, album terakhir mereka, Katharsis dikeluarkan oleh Amy, Nasir, Nordin dan Kid pada tahun 2017 tanpa melibatkan Allahyarham Yazit yang ketika itu berada dalam keuzuran.


“Seperti yang semua maklum, arwah Yazit telah meninggal dunia pada tahun 2019.


“Walaubagaimanapun, ahli-ahli Search telah bersetuju untuk memastikan bahawa hak-hak arwah Yazit kepada nama Search dan kerja-kerja beliau untuk Search dari tahun 1981 lagi akan diberikan kepada waris-waris arwah Yazit,” memetik kenyataan itu.


-Astro Awani