top of page
  • cik skod

Anak bulan Syawal kelihatan pada malam Jumaat tipis


KEMUNGKINAN untuk mencerap anak bulan pada hari Khamis depan bagi menandakan tarikh 1 Syawal untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri pada keesokan harinya tipis, kata Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang.


Namun, beliau berkata, walau apa pun keputusannya, ia akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada malam itu setelah menerima laporan hasil cerapan kelak.


“Jangan berbalah atau sebar tentang spekulasi 1 Syawal sehingga merujuk kepada Pusat Astronomi Antarabangsa bahawa 1 Syawal akan jatuh pada hari Jumaat. Kita mempunyai 29 stesen cerapan untuk melihat anak bulan di seluruh Malaysia yang akan menentukan perkara ini.


“Berdasarkan perbincangan dengan semua sahabat-sahabat kita yang terlibat bahawa pada malam Jumaat (tarikh lihat anak bulan) itu kemungkinan untuk dapat lihat anak bulan sangat tipis dan tidak mencukupi kriteria-kriteria yang diputuskan,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Majlis Perasmian Infaq Ayam Segar kepada Fakir dan Miskin di Pejabat Zakat Daerah Pokok Sena, hari ini.


Justeru, Syeikh Fadzil menasihatkan umat Islam agar tidak berbalah dan mempercayai khabar angin tentang spekulasi tarikh Hari Raya Aidilfitri pada 1 Syawal nanti.


Katanya, tindakan itu termasuk menyebarkan khabar yang belum sahih selain menjadikan pihak tertentu sebagai sumber maklumat.


Tambah beliau, umat Islam sebaliknya perlu fokus beramal ibadat ketika ini terutama apabila Ramadan sudah memasuki 10 malam terakhir untuk mengejar Lailatul Qadar.


“10 malam Ramadan ini yang dinanti-nantikan berdasarkan hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud, Carilah nanti kedatangan Lailatul Qadar pada 10 malam terakhir Ramadan. Malah baginda mempersingkat tempoh itu pada malam-malam ganjil iaitu pada malam 21, 23, 25, 27 dan 29.


“Apabila datang masa yang disifatkan kemuncak Ramadan itu, kita sepatutnya melipat gandakan amal ibadat kita namun tiba-tiba kita lalai dan semakin menjauhkan diri daripada masjid.


“Mungkin kerana sibuk dengan persiapan hari raya atau sudah keletihan? Namun kita perlu meniru amalan Nabi Muhammad SAW yang melipat gandakan amalan sepanjang tempoh tersebut,” katanya.


Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpangkalan di Emiriah Arab Bersatu (UEA), baru-baru ini menjangkakan tarikh 1 Syawal akan jatuh pada Jumaat bersamaan 21 April.

Komentarze


bottom of page