top of page
  • newsatmy

Anak Ramadan buat Tasha, Atiq

26 April 2021

KUALA LUMPUR: Pelakon Tasha Shilla, 34, selamat melahirkan bayi lelaki di sebuah pusat perubatan di ibu negara, semalam.

Mengumumkan kelahiran anak sulung di Instagram (IG), hari ini, Tasha atau nama sebenar, Natasha Sheila Abdul Razak bersyukur dengan kehadiran putera yang menjadi pelengkap rumah tangga dengan suami, Muhammad Atiq Idris, 34.

"Alhamdulillah syukur ke hadrat Ilahi dengan limpah inayah-Nya dan keizinan-Nya dapat saya melahirkan anak sulung lelaki pada Ramadan ke-12, 1442 Hijrah bersamaan Sabtu, 24 April 2021.

"Terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan saya dan keluarga sepanjang masa," luahnya dalam entri berkenaan.

Menerusi hantaran itu, pelakon drama rantaian Gemilang dan Ariana Rose ini merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang banyak membantu melancarkan proses kelahiran zuriat pertama mereka, selain ucapan khas buat suami tercinta. "Saya sangat hargai usaha semua pihak yang membantu menyempurnakan proses bersalin ini terutama keluarga, sahabat, pasukan perubatan dan yang paling istimewa dalam hidup saya, Atiq.

"Terima kasih berikan semangat, sentiasa membahagiakan saya dan menjadi suami yang soleh... Saya cintakan awak," katanya.

Mengiring hantaran itu, Tasha memuat naik dua foto hitam putih yang menampakkan sebahagian tubuh bayinya.

Meninjau ruangan komen, rata-rata peminat dan pengikut Tasha mengucapkan tahniah dan berkongsi kegembiraan pelakon itu.

Disember lalu, pasangan yang mendirikan rumah tangga pada Februari tahun lalu, mengumumkan bakal menerima kehadiran orang baharu menerusi hantaran IG, ketika kandungan Tasha berusia lima bulan.


-Berita Harian

bottom of page