top of page
  • newsatmy

Anak Shah Rukh Khan kembali ke rumah, sambutan meriah rai kepulangan Aryan

31 OKTOBER 2021

MUMBAI: Kaum keluarga terdekat serta peminat-peminat setia Shah Rukh Khan berhimpun di Mannat iaitu kediaman aktor itu di sini, bagi meraikan kepulangan Aryan Khan yang ditahan selama 26 hari di Penjara Arthur Road selepas disyaki terlibat dalam aktviti penyalahgunaan dadah.


Terdahulu, media tempatan melaporkan, kesesakan trafik luar biasa berlaku di sekitar kawasan Penjara Arthur Road di Mumbai, India hari ini berikutan pembebasan Aryan Khan yang juga anak aktor Shah Rukh Khan selepas memperoleh jaminan.


Shah Rukh Khan dan isteri, Gauri Khan juga dilaporkan akan berkunjung ke penjara itu bagi menyambut pembebasan anak sulung mereka yang berusia 23 tahun itu.


Pembebasan Aryan Khan selepas ditangkap awal bulan ini kerana disyaki terlibat dalam penyalahgunaan dadah menjadi perhatian peminat hero Bollywood itu.


Selama 26 hari, Aryan Khan ditahan di Penjara Arthur Road selepas pihak berkuasa bertegas mendakwa terdapat bukti bahawa anak muda itu terlibat dalam kes berkenaan semasa ditangkap bersama rakan-rakannya di atas sebuah kapal persiaran di pantai Mumbai pada 3 Oktober lalu.


Terdahulu pelakon yang juga rakan terdekat keluarga Shah Rukh Khan, Juhi Chawla dilaporkan menjadi penjamin bagi pembebasan Aryan Khan.


“Saya sangat gembira semuanya sudah berakhir dan Aryan Khan akan kembali ke rumah tidak lama lag. Saya fikir, jaminan yang diperoleh ini sangat melegakan semua orang,” kata Juhi Chawla dalam kenyataan yang dikeluarkan.


Sementara itu, sebagai menyambut kepulangan anak tercinta ke rumah, Shah Rukh Khan dan Gauri Khan telah membuat persiapan yang sebaik mungkin di rumah mereka.


Media tempatan melaporkan, kakitangan kediaman keluarga bintang filem masyhur dunia itu turut menghias rumah dengan dekorasi cahaya.


Bahkan, hiasan bunga-bunga segar juga dilihat menghiasi balkoni kediaman rumah keluarga itu yang menghadap laut sebagai meraikan kepulangan Aryan Khan yang dijangka pada lewat petang ini.


Pada Khamis lalu, Mahkamah Tinggi Bombay membenarkan permohonan ikat jamin ke atas Aryan Khan yang ditahan agensi narkotik atas tuduhan berkaitan dengan rampasan dadah.


Aryan Khan ditahan dalam keadaan penuh kontroversi bersama beberapa lagi orang oleh Biro Kawalan Narkotik (NCB) di Mumbai pada awal bulan ini.


Berita itu disambut Shah Rukh Khan dengan air mata kegembiraan selepas 25 hari anak sulungnya ditahan NCB selepas didakwa terlibat dalam penyalahgunaan dadah.


bottom of page