top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Ancelotti nafi khabar angin kepulangan Ronaldo ke Real Madrid

18 Ogos 2021

CRISTIANO Ronaldo tidak akan kembali ke pangkuan Real Madrid walaupun khabar angin mengenai kepulangannya ke Santiago Bernabeu untuk bekerjasama dengan Carlo Ancelotti kian bertiup kencang, demikian disahkan ketua jurulatih Los Blancos itu.


Pemain bintang Portugal berkenaan sudah memasuki fasa terakhir dalam kontrak empat tahunnya bersama Juventus selepas menyertai pasukan itu daripada Madrid dengan perpindahan €112 juta (RM556.53 juta) pada Julai 2018.


Ronaldo kini dikaitkan untuk meninggalkan Turin dengan bekas kelabnya itu dilaporkan berminat untuk mendapatkan pemenang lima kali Anugerah Ballon d'Or berkenaan.


Penyerang bintang itu menjaringkan 450 gol dan menghasilkan 132 bantuan jaringan sepanjang 438 penampilannya bersama Madrid dari 2009-2018.


Dia juga pernah bermain di bawah kendalian Ancelotti di Los Blancos dari 2013 hingga 2015 dan memenangi Liga Juara-Juara Eropah, Copa del Rey, Piala Super UEFA dan Piala Dunia Kelab sepanjang tempoh itu.


Bagaimanapun, Ancelotti dalam satu ciapan Twitter mendedahkan bahawa dia tidak berminat untuk mendapatkan pemain berusia 36 tahun itu walaupun amat menghormatinya.


"Cristiano Ronaldo seorang legenda Real Madrid dan saya amat menghormatinya.


"Tetapi saya tidak pernah meminta atau merancang untuk menandatanganinya musim panas ini.


"Kami sedang memandang ke depan," tulisnya dalam ciapan berkenaan.

bottom of page