• newsatmy

Anis Kalisa, wajah ayu di sebalik 'riff' ganas dan air mata COVID-19

12 Mei 2021

AGAK jarang sebenarnya jika kita mencari gitaris wanita muda tempatan yang masih gilakan rock atau mengidolakan muzik bawaan Led Zeppelin, Black Sabbath atau apa saja yang berentak metal di era kini.


Namun tidak begitu buat Anis Kalisa atau nama sebenarnya Anis Kalisa Rosli, 32.


Mendengar riff yang dimainkan, agar sukar mempercayai ia hadir daripada seorang wanita cantik yang mampu menyampaikan metafora indah dalam irama rock yang keras.


Nama Anis mula meniti di bibir pecinta muzik rock tanah air kebelakangan ini apabila sering tampil di media sosial.


Malah semakin dikenali selepas secara rasmi menyertai kumpulan rock wanita terkemuka tanah air "Candy" pada 2016.


Berbicara dengan wanita kelahiran Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) yang agak pemalu ini, ketara minat dan kesungguhannya meniti dunia yang rata-ratanya dihuni sang jejaka.


Membuka bicara, minat Anis mula menjelma sedari usia 11 tahun setelah 'terpengaruh' dengan sepupunya yang sukakan muzik thrash dan metal.


Sejak itu, Anis sering mencuri-curi menonton apa saja ‘live show’ muzik dari genre tersebut.


Cintanya terhadap gitar mulai tertanam di lubuk hati apabila mencecah usia 17 tahun dan memiliki kumpulannya sendiri.


“Asalnya saya tak pernah tahu pun apa itu gitar solo.


"Sekitar umur 17 ke18 macam tu, saya ada band indie/acoustic/singer songwriter/folk di mana saya menjadi lead singer.


"Main gitar dengan strumming sikit-sikit dan ada juga buat beberapa lagu.


"Tetapi bila saya dah terkena sengatan muzik rock, saya tergerak hati untuk practise gitar dengan lebih mendalam lagi.


"Tiba-tiba terasa seronok sangat dengan muzik rock dan main gitar distortion kuat-kuat selain solo lama-lama,” katanya.


Terpana dengan muzik rock menyebabkan anak kepada bekas pemain bolasepak Kelantan ini tidak lagi menemui genre lain yang sebati dengan jiwanya.


Dia yang kini turut bekerja sepenuh masa dengan Orkestra Kuala Lumpur DBKL juga mendapat sokongan ayahnya yang juga seorang peminat muzik rock.


“Bapa saya dulu belajar di Amerika Syarikat atas biasiswa sekolah sukan. Jadi dia banyak memperkenalkan saya kepada band-band rock lama.


"Walaupun agak tak berapa suka masa tu, dia tetap menghadiahkan saya album Scorpions, Deep Purple, Led Zeppelin, Steely dan juga genre acid jazz.


“Bila saya join band 'Candy' sebagai gitaris gantian, baru saya dapat meneroka minat terhadap muzik rock sebenarnya, dan sejak itu tidak pernah membalik lagi.


"Walaupun ketika itu saya ingin merasa pelbagai genre, bila bermain atau mendengar muzik rock, saya ada feeling macam balik ke zaman kecil iaitu ketika mendengar album 70s rock dengan bapa saya dalam kereta,” kata Anis.


Anis turut memiliki ‘dewa gitar’ tempatan yang menjadi idolanya -- Man Kidal.


Baginya lejen itu memiliki kesempurnaa tersendiri setiap kali beraksi dengan meletakkan jiwa ketika memetik gitar dan beraksi.


“Dia punya persona sebagai gitaris tidak dapat disamakan dengan orang lain; cara mahu pun stail permainan dia unik dalam banyak segi.


"Kalau dia session record, kita akan tau dia yang main dalam lagu tu!


"Live pun kalau tutup mata, kita masih boleh cam itu Man Kidal yang main.


“Saya juga sangat kagum dengan cara dia yang sentiasa jaga penampilan.


"Memang tak pernah tengok dia ikat rambut atau pergi pasar pakai seluar pendek atau kain pelikat kerana dia sentiasa in character.


"Saya pernah try ikut macam dia dulu, dress up hari-hari. Tapi bila dah PKP, balik pakai baju kelawar je,” kata Anis berseloroh.


"Ramai juga yang tertanya bagaimana seorang pemuzik berjiwa rock sepertinya secara tiba-tiba pula berminat menyertai kumpulan orkestra.


“Ramai kawan-kawan pemuzik saya terkejut apabila saya masuk kerja full time sebagai gitaris Orkestra Kuala Lumpur di bawah DBKL pada tahun 2018.


"Kerana waktu tu, saya dah banyak show undangan, banyak contract di kelab malam, dan job tak putus-putus.


"Sebenarnya saya ingin mencuba nasib sebab waktu tu saya berguru dengan sessionist Rizal Halim dan juga sering bekerja sebagai assistant/driver arwah Aji Samin, seorang sessionist terkemuka tanah air.


"Saya nak tengok tahap baca 'taugeh' (not muzik) boleh lepas tak audition Orkestra Kuala Lumpur.


"Situasi audition tu sangat mengerikan kerana lebih 200 gitaris datang dan menunggu giliran untuk dipanggil.


"Audition tu ada empat fasa. First kertas muzik tu kalau tak lepas nak main on the spot, tak dapat pergi ke next fasa la.


"Baca muzik notation yang lebih susah, dan fasa akhir sekali improvisasi pula.


"Yang dapat ke fasa akhir hanya dua orang, termasuklah saya!


"Maka bermulalah fasa hidup baharu yang main muzik di kelab malam sampai 2 ke 3 pagi, tapi masih kena masuk kerja pagi kat Orkestra jam 7.30 pagi,” kata Anis.


Bagaimanapun, Anis turut mengakui industri muzik negara ketika ini sedang dilanda kesuraman akibat pandemik COVID-19 yang merencat dan membantutkan hala tuju ramai rakan seperjuanganya.


“Mula-mula di awal pandemik, apabila negara kita mulai lockdown, semua gig main di kelab malam terus cancelled.


"Ketika itu, saya dengan band saya (sekarang), 'Soul Statue' bermain empat kali seminggu di kelab merata KL, satu malam dapat RM300.


"Walaupun saya sebagai pemuzik DBKL masih dapat gaji, duit itu masih tak cukup untuk menolong bandmates saya yang tidak ada income langsung selama setahun.


"Saya melihat ramai sangat kawan-kawan pemuzik saya mengalami kesukaran, kemarahan, kemurungan ada yang rumah tangga bercerai berai.


"Anak-anak terpaksa hantar balik ke kampung, ada yang sampai jual segala peralatan muzik mereka. Kesian!


"Walaupun saya masih mendapat gaji, saya masih terpaksa jual gitar kesayangan saya Gibson Les Paul Vintage dari tahun 1991.


"Tapi saya berjanji satu hari nanti akan dapatkan balik!” katanya dengan penuh harapan.


-Astro Awani