top of page
  • newsatmy

Annuar sifatkan difitnah kahwin penyanyi

30 April 2021

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Anuar Musa menyifatkan khabar angin kononnya beliau berkahwin dengan seorang penyanyi tanah air, yang tular di media sosial sebagai fitnah yang cuba menjatuhkan kerjaya politiknya.


Annuar turut meluahkan rasa kesal dan terkilan dengan tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khabar angin yang turut menjejaskan reputasi pihak lain yang tidak berkaitan.


"Saya orang politik tak mengapalah kalau kawan-kawan nak fitnah sikit-sikit. Tapi janganlah melibatkan orang lain yang juga ada keluarga.


"Setahu saya (penyanyi berkenaan) daripada keluarga yang cukup terhormat. Saya kenal latar belakang mereka. Kalau nak fitnah, libatkan saya sahaja jangan kaitkan orang lain," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak binaan blok tambahan Maahad Tahfiz Integrasi Madinatul Huffaz, di sini hari ini.


Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, setakat ini beliau tidak berniat untuk mengambil tindakan lanjut, sebaliknya meminta pihak yang menyebarkan khabar angin berkenaan bermuhasabah.


"Saya doakan orang tersebut (penyebar) mengambil iktibar bulan Ramadan ini kurangkanlah perkara mungkar. Saya tak nak marah-marah. Elok sabar sajalah," katanya.


Sejak Rabu, tular di Twitter kononnya Annuar, 65, dan penyanyi Datuk Nora Ariffin, 48, sudah bernikah sebagai isteri kedua, namun penyanyi berkenaan menafikan khabar angin itu.


– BERNAMA

bottom of page