top of page
  • newsatmy

Anthony Hopkins pemenang Oscar tertua

27 April 2021

LOS ANGELES: Bintang veteran, Anthony Hopkins, 83, diangkat sebagai Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Akademi Ke-93 menerusi filem The Father, sekali gus menjadikannya aktor tertua mendapat pengiktirafan itu.

Ini kemenangan kedua Hopkins selepas diumumkan pada Anugerah Akademi atau Oscar yang disiarkan secara langsung dari Union Station Los Angeles dan Dolby Theatre, Hollywood, pagi ini.

Bagaimanapun, pelakon legenda itu tidak dapat hadir pada anugerah berprestij.

Sebelum ini, watak pembunuh, Hannibal Lecter dalam filem thriller, The Silence of the Lambs mengangkatnya sebagai Pelakon Lelaki Terbaik pada Oscar 1992. Kini, hampir 30 tahun, Hopkins menunjukkan kehebatan menerusi watak lelaki tua yang berpenyakit demensia yang menolak pertolongan keluarganya. Dia mula meragui kejadian nyata dan apa yang dibayangkan. Filem ini adaptasi dari drama pentas yang menggunakan judul sama pada 2012. Kemenangannya menjadikan Hopkins sebagai pemenang Oscar tertua, sebelum ini dipegang oleh mendiang Christopher Plummer yang berusia 82 tahun ketika memenangi filem Beginners pada 2012.

Mengikut laporan portal Variety, Hopkins memberitahu, watak itu menyebabkannya sangat sedar betapa berharganya sebuah kehidupan.

Secara keseluruhan, Hopkins dicalonkan sebanyak enam kali menerusi filem The Silence of the Lambs, The Father, The Remains of the Day, Nixon, The Two Popes dan Amistad untuk pencalonan Oscar.

Dilahirkan di Port Talbot, South Wales, Hopkins bersuara lembut adalah anak pembuat roti yang kerjayanya pernah menyaksikannya melakonkan watak mendiang Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon, Adolf Hitler, Pablo Picasso, Quasimodo dan ramai lagi.

Namun, Hopkins berkata, cinta pertamanya adalah dunia muzik dan hadir tidak sengaja. Beliau juga seorang pemain piano dan seniman berpengalaman selama berpuluh tahun di California. Pada 1993, Ratu Elizabeth memberinya gelaran Sir Anthony Hopkins.


-Astro Awani


Comments


bottom of page