top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Anwar ada sokongan? Buktikan jangan cakap tepi jalan – Wan Saiful

3 Ogos 2021

KUALA LUMPUR: Tiada perubahan sokongan majoriti wakil-wakil rakyat kerajaan termasuk UMNO terhadap Perikatan Nasional (PN) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin kekal sebagai Perdana Menteri sehingga Parlimen dibubarkan.


Ketua Penerangan PN, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata sekalipun pembangkang berterusan mendakwa mempunyai sokongan daripada ahli Parlimen, ia sudah lama dilakukan demi memenuhi agenda politik mereka.


Selain itu, katanya, kerajaan memilih untuk terus fokus dalam mentadbir negara dan membina semula ekonomi kerana setiap dakwaan dilemparkan pembangkang adalah tidak berasaskan Perlembagaan Persekutuan.


“Dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dari dahulu lagi cakap perkara yang sama kononnya ada sokongan kukuh dan meyakinkan. Kalau betul, buktikan jangan cakap tepi jalan.


“Saya faham pembangkang cuba menimbulkan pelbagai keraguan. Ini kerja yang biasa dilakukan jadi kami kerajaan hanya biarkan sahaja mereka terus dengan keraguan seperti ini.


“Tidak timbul persoalan mengenai status kedudukan kerajaan dan saya berpegang kepada kenyataan dikeluarkan bahawa sokongan majoriti wakil rakyat masih bersama dengan PN,” katanya memetik Utusan Malaysia.


Pada Isnin, ketika berucap di hadapan ahli-ahli Parlimen pembangkang semasa berhimpun di Dataran Merdeka, Anwar mendakwa Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin telah hilang sokongan majoriti di Dewan Rakyat.


Anwar mendakwa kerajaan Perikatan Nasional (PN) telah tumbang apabila anggota parlimen menarik sokongan mereka terhadap pentadbiran Muhyiddin.


“Hari ini kita berkumpul untuk menyatakan bahawa, secara jumlah ahli parlimen, kerajaan Mahiaddin telah jatuh tumbang hari ini. Dan saya dapat maklumat dari parti-parti lain ada mengemukakan senarai yang minta keluar dari PN.


“Maka dengan 107 yang ada di sini, campur mereka, kerajaan sudah ditumbangkan,” katanya.



--AWANI

bottom of page