• Arissa Azman

Anwar, empat wakil rakyat mohon kebenaran rayu keputusan Mahkamah Rayuan

29 Disember 2021

KUALA LUMPUR: Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan empat wakil rakyat telah memohon kebenaran merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang menolak rayuan mereka untuk mencabar tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin menasihati Yang di-Pertuan Agong menggantung Parlimen semasa tempoh darurat.


Peguam Ramkarpal Singh, yang mewakili Anwar, ketika dihubungi pemberita berkata anak guamnya memfailkan lapan persoalan undang-undang pada 24 Dis untuk memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan bagi membolehkan merit permohonan itu didengar.


Pejabat pendaftaran Mahkamah Persekutuan menetapkan 26 Jan 2022 bagi pengurusan kes.

Peguam Christopher Leong, yang mewakili Ahli Parlimen Pulai Datuk Seri Salahuddin Ayub, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul, Ahli Dewan Undangan Negeri Tebing Tinggi Abdul Aziz Bari dan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Abdul Karim, berkata anak guamnya turut memfailkan permohonan bagi mendapatkan kebenaran merayu pada 23 Dis dengan masing-masing mengemukakan dua persoalan undang-undang yang sama.


Pada 24 Nov lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang dipengerusikan oleh Datuk Has Zanah Mehat menolak permohonan mereka untuk mendapatkan kebenaran bagi memfailkan semakan kehakiman terhadap bekas Perdana Menteri itu dan kerajaan.


Dalam keputusan sebulat suara, hakim Has Zanah berkata mahkamah tidak mempunyai bidang kuasa untuk melayan permohonan semakan kehakiman walaupun kebenaran diberikan kepada perayu.


"Ia akan dilaksanakan dengan sia-sia kerana mahkamah dilarang oleh Perkara 150 (8) Perlembagaan Persekutuan daripada mempersoalkan penggunaan budi bicara oleh Yang di-Pertuan Agong mengenai pengisytiharan darurat," katanya.


Beliau berkata kuasa mahkamah bergantung kepada apa yang diperuntukkan oleh perlembagaan, bukannya apa yang difikirkan oleh sesetengah pemikir politik apa itu kuasa kehakiman.


Hakim itu berkata menurut Perkara 150 (6) dan (8) Perlembagaan Persekutuan, Parlimen berhasrat untuk mengecualikan semakan kehakiman terhadap keputusan mengisytiharkan darurat serta menutup pintu mahkamah terhadap sebarang cabaran undang-undang yang dibuat semasa darurat dan pengisytiharan darurat oleh Yang di-Pertuan Agong.


Pada 22 April lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Anwar untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar nasihat Muhyiddin kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk menggantung sidang Parlimen darurat seluruh negara.


Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Datuk Seri Mariana Yahya (kini Hakim Mahkamah Rayuan) menolak permohonan Anwar atas alasan mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar semakan kehakiman berdasarkan Perkara 150(6) dan 150(8) Perlembagaan Persekutuan.


Hakim Mariana memutuskan bahawa nasihat Jemaah Menteri dan Muhyiddin kepada Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Ordinan Darurat adalah tidak tertakluk kepada semakan kehakiman.


Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson memfailkan permohonan kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman pada 25 Januari lalu, dengan menamakan Muhyiddin dan kerajaan masing-masing sebagai responden pertama dan kedua.


Beliau memohon deklarasi bahawa keputusan yang diberikan oleh Jemaah Menteri, diketuai Muhyiddin untuk menasihati Al-Sultan Abdullah untuk mengisytiharkan Seksyen 14 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang telah mengakibatkan penggantungan Parlimen adalah bertentangan dengan undang-undang, tidak berperlembagaan, tidak sah, tidak mempunyai sebarang kesan dan ultra vires.


Pada 11 Mac lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan kebenaran semakan kehakiman yang dikemukakan Salahuddin, Johari dan Abdul Aziz atas perkara yang sama manakala permohonan kebenaran Hassan ditolak Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada 26 April lalu.


Mereka juga menamakan Muhyiddin dan kerajaan sebagai responden dalam permohonan mereka.