top of page
  • newsatmy

Anwar syok sendiri, hanya bermimpi di siang hari - Onn Hafiz

15 Mac 2021

JOHOR BAHRU - Kenyataan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa parti itu sedang merintis persefahaman dengan UMNO dianggap sebagai mimpi yang tidak akan menjadi kenyataan.


Naib Ketua UMNO Bahagian Simpang Renggam Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata sebagai pemimpin muda parti, beliau percaya ketetapan "No Anwar NO DAP" tetap akan terus menjadi pegangan semua peringkat ahli parti UMNO dan ia tidak akan berubah.


"Cukuplah dengan 22 bulan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang telah banyak merugikan rakyat," kata Onn Hafiz.


Katanya lagi, ketetapan ini bukan sahaja datang daripada kepimpinan tertinggi parti, namun yang lebih penting ia suara hati sebenar ahli di peringkat akar umbi.


"Jangan sesekali cuba untuk mengelirukan rakyat, khususnya keseluruhan ahli UMNO, kerana semua sudah tahu permainan Anwar Ibrahim terutama sekali ketika terdesak dan kehilangan sokongan daripada ahli parti itu sendiri.


"Kami di peringkat akar umbi tidak sesekali akan mudah percaya terhadap permainan ini kerana sudah masak dengan cara beliau berpolitik, terutama sekali untuk memperdayakan rakyat.


"Ketetapan ini seharusnya dibuat semasa perhimpunan agung UMNO bulan ini,” kata Onn Hafiz hari ini.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Belia dan Sukan Negeri Johor berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar yang dipetik daripada satu wawancara dalam Mingguan Malaysia.


Dakwa beliau, apa yang dilakukan oleh Anwar hanyalah untuk menarik perhatian umum terhadap dirinya yang sudah kehilangan kepercayaan, bukan sahaja di peringkat kepimpinan tertinggi parti malah dalam kalangan ahli akar umbi PKR.


"Sudah jelas lagi bersuluh tidak ada perjanjian persefahaman dengan pemimpin parti itu dan kenyataan yang dikeluarkan olehnya itu hanya sebagai 'syok sendiri' sahaja.


"Tidak akan ada persefahaman di antara UMNO dan PKR, ini kerana kami akan terus kukuh dengan prinsip 'No Anwar No DAP'," katanya. - AA


bottom of page