top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Apa gelaran ‘bapa’ yang sesuai untuk Najib Razak?

3 NOVEMBER 2021

Kerajaan dan rakyat sekarang terpaksa menanggung beban hutang syarikat kontroversi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang bernilai puluhan bilion selepas teruk dikerjakan semasa pentadbiran era Datuk Seri Najib Razak terdahulu.


Hutang RM32 bilion tersebut adalah fakta dan bukan auta yang direka-reka, bayangkan wang sebanyak itu banyak mana rakyat miskin yang terjejas semasa era pandemik Covid-19 ini dapat dibantu.


Mungkin bekas Perdana Menteri (PM) Keenam yang sudah kaya kini selepas mendapat semula wang RM114 juta boleh jawab bagaimana hutang bertimbun itu wujud, tapi beliau lebih sibuk berkempen di Melaka bercakap retorik dan mereka-reka cerita demi kelangsungan politiknya.


Menurut laporan Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2022, hutang terkumpul 1MDB adalah berjumlah RM32 bilion setakat akhir Jun 2021.

Sejumlah RM13.9 bilion komitmen kewangan dan pembayaran hutang 1MDB telah dilunaskan oleh kerajaan atau Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD) menerusi pinjaman dan pendahuluan setakat September lepas yang mencecah hampir RM10 bilion selain penggunaan Akaun Amanah.


Menurut laporan yang dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan, baki terkumpul Akaun Amanah selepas mengambil kira pendapatan simpanan (hibah) adalah berjumlah RM15.3 bilion dan mampu membiayai obligasi 1MDB sehingga 2022.


Obligasi keseluruhan 1MDB berjumlah RM39.3 bilion merangkumi prinsipal sebanyak RM32.2 bilion dan faedah atau bayaran keuntungan atas pembiayaan (RM7.1 bilion).


Laporan tersebut juga boleh diperoleh kerana sudah menjadi fakta umum.


Terdahulu, Najib di Dewan Rakyat menyalahkan PM sebelum ini dengan gelaran ‘Bapa Lockdown’ tetapi tidak sedar diri sendiri terpalit dengan kes mahkamah dan berdepan puluhan pendakwaan.


Jika tiada ‘lockdown’, bayangkan berapa banyak nyawa insan tersayang akan melayang dek kerana penularan Covid-19 yang ketika itu masih belum ditemui penawarnya. Perlu diingat bahawa bukan Malaysia sahaja melaksanakan ‘lockdown’ tetapi hampir seluruh dunia. Bagi Najib, ramailah ‘bapa lockdown’ di dunia ini.


Kerugian dialami negara terlalu banyak apabila sektor ekonomi ditutup sepenuhnya, hampir berbilion sehari kerugian sehingga boleh menyebabkan runtuhnya ekonomi negara.


Mungkin Najib terlupa hutang 1MDB yang bertimbun perlu dibayar itu juga antara yang membebankan kewangan kerajaan, ditambah pula dengan pandemik yang menjejaskan pendapatan negara dan rakyat.


Jika mahu beri gelaran kepada Najib, terlalu banyak gelaran boleh diberikan, antaranya ‘Bapa 1MDB’, ‘Bapa Kluster Mahkamah’, ‘Bapa Hutang’ dan pelbagai macam gelaran lagi. Tetapi dalam politik yang matang dan profesional, tidak perlulah melayan rentak permainan bodoh politik Najib.

bottom of page