• Arissa Azman

Apa itu kempen ‘Ketuanan Pengundi’?

21 September 2021

Tahun 2021 merupakan tahun yang sangat bersejarah dimana negara menerima seorang lagi perdana menteri selepas Perdana Menteri Ke-8, Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen.


Selepas itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri kesembilan setelah baginda menerima surat akuan seramai 114 Ahli Dewan Rakyat sekali gus mencukupi untuk membentuk kerajaan.


Sedar akan rentetan kemelut politik yang berlaku dalam negara, Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) telah melancarkan kempen ‘Ketuanan Pengundi’ sempena hari demokrasi sedunia pada 15 September lalu.


Menurut penjelasan BERSIH, tujuan utama kempen tersebut adalah untuk mengembalikan semula kuasa demokrasi kepada rakyat selain suara rakyat diutamakan berbanding perkara lain dan ianya akan dibawakan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).



Difahamkan, sebanyak 6 tuntutan telah disenaraikan dan ini tuntutan yang dibuat oleh mereka

Kempen ‘Ketuanan Pengundi’ ini telah dirasmikan minggu lalu dan pada majlis perasmian tersebut telah diperincikan 6 tuntutan diatas selain pelancaran logo rasmi. Difahamkan, 6 tuntutan ini merupakan pembaharuan yang ingin dibawakan dalam usaha memberikan kesaksamaan dalam berpolitik kepada semua parti, baik dari pembangkang mahupun pihak kerajaan seterusnya memperkasakan semula hak pengundi.


Sebagai penerangan ringkas, berikut adalah perkara-perkara yang disebutkan dalam tuntutan tersebut :


JANGAN NAFI UNDI KAMI! (Isu: Reformasi SPR, Undi18, Daftar Pemilih Automatik, peluasan undi tidak hadir kepada pengundi luar kawasan).


HENTIKAN LOMPAT PARTI! (Isu: pilihan raya pecat, peruntukan pembangunan kawasan yang saksama, reformasi pelantikan jawatan GLC).


JAMINKAN AUTONOMI PARLIMEN (Isu: Kembalikan Akta Perkhidmatan Parlimen, lebih banyak Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen, pindaan Peraturan Mesyuarat).


HAK KAMI UNTUK MEMBANTAH (Isu: hak bersuara, berhimpun dan berpersatuan, IPCMC)

TOLAK DUA DARJAT! (Isu: Kesetaraan undang-undang, reformasi AGC, SPRM, LHDN, reformasi lantikan pegawai utama kerajaan, kebebasan kehakiman).


PERKASAKAN SUARA PEMBAYAR CUKAI (Isu: Galakkan demokrasi tempatan, belanjawan partisipatori, desentralisasi yang lebih baik).


Bersih 2.0 difahamkan akan menggunakan tanda isyarat tangan untuk nombor enam, bagi menunjukkan sokongan kepada tuntutan Ketuanan Pengundi selain solidariti untuk mereka yang kelainan upaya. Untuk isyarat nombor enam, ibu jari akan bersentuhan dengan jari kelingking.


Selain itu, kempen ini dalam masa yang sama difahamkan akan dijalankan melalui media sosial menggunakan “#KetuananPengundi” dan “#HidupDemokrasi”.


“Bersih 2.0 akan adakan pertandingan mereka face mask dan t-shirt bulan hadapan”


Menurut pengerusi pergerakan berkenaan, Thomas Fann, satu pertandingan mereka bentuk pelitup muka dan baju turut akan diadakan dijangka awal atau pertengahan Oktober nanti, di mana ia akan diangkat sebagai reka bentuk rasmi untuk cenderahati.


Tambah Thomas lagi, selain kempen di media sosial turut akan diadakan siri roadshow ke seluruh negara dalam usaha mempromosikan kempen dan tuntutan-tuntutan ini yang difahamkan ada diantaranya telahpun disebutkan dalam Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MoU) yang ditandatangani baru-baru ini.