- newsatmy
Apa itu Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 di Malaysia

Pemeteran Tenaga Bersih atau Net Energy Metering (NEM) merupakan insentif solar bagi meningkatkan penggunaan tenaga solar dalam kalangan pengguna di Malaysia.
Pogram mesra alam yang diperkenalkan oleh kerajaan pada tahun 2016 dengan peruntukan 500MW sebagai insentif solar untuk meningkatkan penggunaan tenaga solar penggunaan tenaga solar di Malaysia. Program mesra alam ini telah dilaksanakan oleh Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), dikawalselia oleh Suruhanjaya Tenaga (ST) dengan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia sebagai agensi pelaksana.
Ia dilaksanakan secara meluas pada tahun 2019 dan pada Disember 2020,
kerajaan telah mengumumkan NEM 3.0. Melalui NEM, ia membolehkan pengguna elektrik menggunakantenaga suria untuk kediaman mereka sendiri. NEM menggunakan sistem fotovolta (PV) suria yang di pasang di kediaman dan juga premis perniagaan. Menurut Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd, Datuk Ir. Muhamad Guntor Mansor Tobeng, pemasangan panel solar di bangunan-bangunan kerajaan menjimatkan sehingga RM600 juta bil elektrik setahun.
Apa itu tenaga solar
Secara amnya, tenaga solar merupakan tenaga yang berasal daripada cahaya matahari. Tenaga tersebut dapat digunakan secara langsung untuk memanaskan dan membekalkan sumber tenaga elektrik di kediaman atau premis perniagaan. Ramai orang mula menggunakan tenaga suria untuk menjimatkan kos dan mengurangkan penggunaan tenaga elektrik yang konvensional yang lebih mahal berbanding tenaga solar. Manfaat utama tenaga solar adalah ianya dapat digunakan dengan mudah oleh pengguna di kediaman dan perniagaan kerana ia tidak memerlukan pemasangan yang berskala besar seperti pemasangan peralatan untuk mendapatkan sumber tenaga dari angin atau biomas.
Kelebihan dan kebaikan tenaga solar
Ada beberapa kelebihan menggunakan tenaga solar berbanding tenaga elektrik konvensional.
Sumber tenaga boleh diperbaharui (tenaga lestari)
Tidak seperti bahan api fosil, tenaga solar adalah sumber tenaga lestari kerana ia dapat terus menghasilkan penjanaan elektrik selagi adanya cahaya matahari. Sumber tenaga ini dapat dimanfaatkan dengan pemasangan panel solar yang dapat mengurangkan kebergantungan kita pada bekalan arang batu yang diperlukan untuk menghasilkan tenaga elektrik. Ini menjadikannya prospek tenaga yang menarik bagi kebanyakan negara yang fokus pada pembangunan mesra alam dan berteknologi hijau sepenuhnya di masa hadapan.
Mesra alam
Penggunaan tenaga solar adalah sumber tenaga elektrik terbaik untuk menggantikan bahan bakar konvensional kerana ia adalah sumber tenaga alternatif yang tidak mencemarkan alam sekitar, bersih dan boleh diperbaharui. Ia tidak mencemarkan udara dengan melepaskan gas berbahaya seperti karbon dioksida, nitrogen dioksida atau sulfur oksida. Justeru, risiko kerosakan terhadap alam sekitar dapat dikurangkan. Tenaga solar juga tidak memerlukan bahan bakar untuk menghasilkan elektrik dan dengan itu dapat mengelakkan masalah kos pengangkutan bahan bakar atau penyimpanan sisa radioaktif.
Mengurangkan bil utiliti bulanan
Salah satu perkara menarik mengenai penggunaan tenaga solar ialah ia dapat membantu mengurangkan bil utiliti kediaman dan premis perniagaan. Melalui pemasangan panel solar di kediaman atau premis perniagaan, pelbagai aktiviti yang menggunakan tenaga elektrik yang besar seperti memanaskan air dapat dilakukan tanpa risau akan jumlah bil utiliti yang melonjak naik. Tenaga solar berpotensi menjimatkan sehingga 20% daripada bil utiliti sedia ada.
Mudah dipasang dan diuruskan
Panel solar mudah dipasang dan tidak memerlukan wayar, kabel atau sumber kuasa. Tidak seperti stesen janakuasa elektrik dan angin yang memerlukannya diikat dengan mesin penggerudian, panel solar tidak memerlukannya dan boleh dipasang di atas bumbung kediaman atau premis perniagaan. Ini bermaksud pemasangan panel solar tidak memerlukan ruang baharu dan setiap pengguna rumah atau perniagaan dapat menghasilkan elektrik mereka sendiri. Ianya juga mudah diselenggara dan tidak memerlukan kos penyelenggaraan yang tinggi.