'Apabila pemimpin tidak bersifat adil’-Presiden PAS
KUALA LUMPUR 18 Mac: “Kita sedang menyaksikan pesta kezaliman yang nyata,” kata Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. Menruutnya, berlaku tindakan menyiasat, menahan, dan mengheret ke mahkamah sesiapa sahaja secara tergesa-gesa dan terpilih. “Perkara ini berlaku disebabkan agenda politik bagi meneguhkan kuasa yang salah, bukan berkonsepkan keadilan yang wajib ditegakkan dengan proses yang betul tanpa gangguan yang salah,” ujarnya dalam tulisan terbaharu beliau yang bertajuk ‘Apabila pemimpin tidak bersifat adil’. Beliau menegaskan, haram bertindak terhadap seseorang berpandukan berita tuduhan yang disiarkan dahulu melalui media, tanpa berhati-hati mengikut proses penyiasatan serta prosedur kehakiman yang betul dan beradab. Lebih malang lagi, katanya apabila mereka sengaja mencipta tuduhan dengan pemberitaan yang penuh dengan putar belit fasiq dan fitnah, selain saksi yang dicipta bagi menjatuhkan sesiapa sahaja kerana alasan permusuhan. Tambahnya, terang lagi bersuluh bahawa berlaku tindakan zalim dengan mengheret kalangan mereka yang dianggap lawan ke mahkamah secara terpilih, sehingga digali habis-habisan bagi mencipta kesalahan.
Kemudiannya, kata beliau mereka bertindak menghentikan perjalanan mahkamah terhadap kawan yang akrab atau penyokongnya, walaupun sudah layak diheret ke mahkamah dan sedang dalam proses perbicaraan mahkamah.
“Ketika dibawakan bukti secara bertali arus dan belum selesai proses perbicaraannya, tiba-tiba kes tersebut dihentikan,” ujaranya yang juga Ahli Parlimen Marang.
Beliau menjelaskan, Islam menggalakkan penyelesaian secara damai tanpa melalui prosedur mahkamah yang terdapat banyak syarat dan adabnya, supaya tidak terdedah kepada berlakunya kezaliman melainkan kalangan mereka yang dipelihara Allah dengan hidayah-Nya.
Menurut Tuan Guru, hanya perkara yang benar-benar layak dibawa ke mahkamah sahaja yang diambil tindakan kehakiman.
Katanya lagi, kadang-kadang, nasihat yang benar dianggap salah kerana mempertahankan kezaliman yang nyata.
“Nasihat yang diberikan bagi membetulkan kesalahan dan menginsafkan golongan yang zalim adalah kewajipan orang-orang yang beriman,” tambahnya.
Comments