top of page
  • admin

Apakah Ismail sedang ‘khayal’ ketika ‘hentam’ YB Tan Sri?


Saya terpanggil untuk mengulas kenyataan Ketua UMNO Bahagian Pagoh, Ismail Mohamed yang melatah susulan kenyataan Presiden BERSATU, YB Tan Sri Muhyiddin Yassin, baru-baru ini.


Ismail yang juga merupakan bekas ADUN dan EXCO Kerajaan Negeri ternyata buta hati dan gagal melihat pembangunan yang telah dibawakan oleh YB Tan Sri selaku Ahli Parlimen Pagoh.


Bagaimanapun, saya sedar kenyataan yang dibuat oleh bekas calon BN untuk kerusi Parlimen Pagoh pada PRU14 dan DUN Bukit Kepong ini tidak lebih untuk ‘impressed’ pucuk pimpinan UMNO.


Boleh jadi juga kenyataan Ismail ini telah dirangka dan dinaratifkan sebagai reaksi balas terhadap ‘teguran’ YB Tan Sri yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara kepada Perdana Menteri.


Suka untuk saya menyangkal tohmahan dan dakwaan lemah pemimpin UMNO Bahagian Pagoh ini yang cuba menutup kegagalan beliau memenangi hati pengundi di Parlimen Pagoh.

PERTAMA, Ismail boleh menghasut rakyat agar menyokong BN / UMNO yang telah terbukti terpalit dengan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, namun biarlah rakyat


Pagoh menilai perkhidmatan YB Tan Sri di peringkat Persekutuan, Negeri mahupun Parlimen.

Mendakwa teguran YB Tan Sri kepada Perdana Menteri sebagai taktik propaganda memburukkan kepimpinan BN / UMNO amatlah dangkal dan tidak bijak dalam berpolitik.

KEDUA, ternyata Ismail gagal memahami dengan jelas tindakan murni Kerajaan PN pimpinan YB Tan Sri yang bersungguh-sungguh ingin menyelamatkan nyawa rakyat ketika pandemik COVID-19.


Beliau telah menunjukkan kegagalannya untuk memahami situasi semasa kesihatan awam pada ketika itu dan mengerti peri penting Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan terhadap nyawa rakyat.


Kerajaan PN bukan sahaja telah bertanggungjawab dalam menguruskan COVID-19, malah berjaya mengusahakan Pelan Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.


KETIGA, dakwaan Ismail bahawa YB Tan Sri banyak ‘perkara’ tidak selesai sejak menjadi Ahli Parlimen Pagoh jelas membuktikan ia bersifat serangan politik yang semberono.

Suka untuk saya mengajak rakyat di luar sana terutama orang UMNO untuk datang ke Parlimen Pagoh dan lihat sendiri kejayaan pembangunan yang telah berlaku sejak YB Tan Sri menjadi Ahli Parlimennya.


Di Pagoh terdapat Hab Pendidikan Tinggi Pagoh atau Bandar Universiti Pagoh. Kemudahan infrastruktur dan prasarananya yang baik selain pembangunan yang berpandukan konsep ‘Rural Urbanisation’. Serta, Zon Ekonomi Khas Pagoh yang bakal mengetengahkan pelaksanaan projek berimpak tinggi dan menjadi ‘game changer’ bagi daerah Muar.


Persoalan saya kepada Ismail, apa pula yang sempat beliau laksana atau lakukan ketika diangkat sebagai ADUN dan EXCO Kerajaan Negeri pada PRU13? Biarlah rakyat yang menilai.


Akhir sekali, Ketua UMNO Bahagian Pagoh ini harus sedar bahawa pengundi telah menolak BN / UMNO pada PRU14 dan PRN Johor bagi kerusi Parlimen Pagoh dan DUN Bukit Kepong.


Apatah lagi, pengundi telah menolak Ismail sebagai calon BN / UMNO bagi kedua-dua kerusi tersebut. Apakah beliau sedang ‘berkhayal’ ketika ‘menghentam’ YB Tan Sri?

Kini kedengaran khabar angin BN / UMNO akan meletakkan calon muda untuk bertanding Parlimen Pagoh pada PRU15 yang bakal diadakan bila-bila masa sebaik sahaja Dewan Rakyat dibubarkan.


Amatlah kasihan kepada Ismail yang telah kalah dan gagal dua kali sebagai calon, sehingga terpaksa memberi laluan kepada orang lain untuk diangkat sebagai calon.


Sekiranya benar khabar angin ini, maka jelas isyarat pucuk pimpinan BN / UMNO yang memperakukan ‘kegagalan’ Ismail sebagai Ketua UMNO Bahagian Pagoh.


Kepada bakal calon Parlimen Pagoh dari BN / UMNO, janganlah contohi Ismail bagi mengelak ‘pisang berbuah bukan dua, tapi tiga kali’. Matanglah dalam berpolitik dan jangan tabur janji apatah lagi mengikuti perangai ‘orang atas’ yang bermentalitikan korupsi.

Penulis Mohd Idzharruddin Mohd Nasirruddin, merupakan Naib Ketua Armada Bahagian Pagoh.

bottom of page