• newsatmy

Apek jawab gosip kahwin dua

5 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Nama pelawak otai, Saiful Apek kembali hangat apabila gambar bersama bekas anggota kumpulan Elite, Fiza Halim yang kelihatan cukup mesra menjadi bahan perdebatan netizen.


Dakwa netizen, foto yang dimuat naik Fiza di Instagram (IG) tidak sesuai dengan status dua selebriti yang sudah berkahwin. Lagi pun, ia tidak selari dengan imej Islamik Apek kerana jelas menunjukkan mereka saling bersentuhan.


Apek atau nama sebenarnya, Mohd Saiful Azam Mohamed Yusof berkata, gambar berkenaan dirakamkan ketika menjayakan program game show.


"Kami tidak bersentuhan, tetapi persepsi nakal timbul disebabkan kedudukan sudut kamera ketika gambar dirakamkan. Sebenarnya, tangan saya diletakkan atas tempat pemegang kerusi, manakala tangan Fiza di bawah pemegang, tetapi nampak seperti kami bersentuhan, walhal ia tidak berlaku.


"Saya tidak berniat menimbulkan kontroversi dengan gambar ini. Seperti dinyatakan, provokasi timbul berikutan kedudukan kami ketika gambar dirakamkan hingga menimbulkan salah faham.


"Saya tidak rasa perbuatan saya salah kerana gambar ini dirakamkan di tempat terbuka. Lainlah kalau saya rakam gambar di tempat tersorok, kemudian menyebarkannya dalam media sosial, itu tindakan bodoh namanya.


"Bagaimanapun, saya sedar, matlamat tidak menghalalkan cara. Jika ada mana-mana pihak yang tersinggung dan berasakan perbuatan itu menjengkelkan, saya minta maaf. Memohon maaf adalah satu keberanian, memaafkan adalah satu kekuatan, manakala melupakan adalah kebahagiaan," katanya kepada BH Online.


Mengulas ada pihak memandang serong dan hilang hormat hanya kerana insiden itu, Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 2003 berkata, perkara itu bukan kali pertama berlaku, tetapi sudah banyak kali.


"Sebelum ini, saya pernah dikaitkan dengan Fasha Sandha, Sabrina Ali dan terbaharu, Fiza. Jika hilang hormat terhadap saya hanya hanya kerana gambar ini, saya tidak boleh buat apa-apa.


"Bagi saya, jika menghormati seseorang, bukanlah kerana kita kena hormat, tetapi kerana kita menghormati diri sendiri serta mengamalkan sikap berbaik sangka dengan semua orang.


"Tetapi, jika tidak puas hati selagi tidak mendapat jawapan pasti, boleh mesej peribadi saya untuk bertanya dan saya akan menjawab segala kemusykilan," katanya.


Menjawab khabar angin yang mendakwa mengamalkan poligami, Apek berkata, dia sering dikaitkan dengan cerita panas seperti mempunyai skandal, cerai termasuk mengamalkan poligami.


"Sejak dahulu, apa sahaja berkaitan dengan soal peribadi saya lebih selesa untuk tidak menghebahkannya. Sejak 1994 hinggalah sekarang, rasanya tiada siapa pernah nampak wajah keluarga saya dipaparkan di dada akhbar. Ini berlaku kerana saya meletakkan batasan.


"Jika perkara membabitkan kerja seperti insiden gambar dengan Fiza, saya tiada masalah untuk menjawabnya. Selagi atas nama kerjaya, nak geledah pun geledahlah. Saya tiada masalah. Tetapi, izinkan saya simpan kisah peribadi demi menghormati keluarga yang memang tidak mahu kehidupan didedahkan kepada khalayak.


"Apapun jawapan yang diberikan, tetap tidak akan membawa perubahan apa-apa. Orang akan tetap menuduh saya berbohong hanya kerana saya seorang pelakon. Daripada membiarkan dosa bertambah, lebih baik saya tidak menjawab apa-apa. Lagipun, perkara ini tidak penting sebenarnya," katanya yang baru sahaja menyelesaikan penggambaran filem Hantu Kuat Ketawa arahan Mawi.


Filem bergenre komedi itu menggandingkannya semula dengan Syanie Hisyam, selain Along Cham dan Zarina Anjoulie.


Pemenang Anugerah Ikon Komedi Malaysia 2021 itu berkata, dia berbangga juga apabila masih menjadi bahan gosip dalam usia 52 tahun.


"Rasa bangga kerana masih relevan (ketawa). Walaupun kelibat saya jarang kelihatan, tetapi orang masih bercakap pasal saya.


"Saya tak pernah marah ataupun terkilan. Saya lebih selesa membiarkan masa menjawab segala-galanya. Jika berada di pihak yang benar, sampai masanya kebenaran akan terungkap juga," katanya.


-Berita Harian