top of page
  • admin

Aplikasi CISTA untuk raih sukarelawan PRU


TANGGA BATU, 29 Sep – Memahami dan mengendalikan kempen pilihan raya kini tidak sesukar dahulu apabila aplikasi CISTA (Bahasa Latin bagi Peti Undi) mula mendapat sambutan hangat daripada anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) dan sukarelawan di seluruh negara.


Sejak dilancarkan sacara rasmi oleh Timbalan Presiden KEADILAN, Rafizi Ramli pada 18 September lalu, tempiasnya mula menjalar ke segenap pelusuk negara dan masyarakat Parlimen Tangga Batu bertuah kerana mempunyai seorang Ahli Parlimen dan Ketua Cabang KEADILAN yang berdedikasi serta mampu membimbing masyarakat memahami konsep penggunaannya dalam masa singkat.

Menurut Ahli Parlimennya, Rusnah Aluai, pihaknya dengan kerjasama para penyelaras DUN dalam parlimen ini menyasarkan akan mengumpulkan lebih daripada 300 sukarelawan terdiri daripada pelbagai kaum dan status berganding bahu bagi mempertahankan kerusi yang dimenangi pada 2018.


“Walaupun CISTA masih baharu di kalangan warga Tangga Batu setelah Saudara Rafizi melancarkan latihan pertama di Kuala Lumpur, kalangan penduduk di sini mula bercerita secara serius bagaimana mahu mendaftar dan menyertai aktiviti yang akan dianjurkan oleh cabang dan Pusat Khidmat Parlimen, seolah ‘aura’ Rafizi terus memberi makna mendalam buat mereka,” katanya.

Buktinya, baru-baru ini seramai 35 sukarelawan mendaftar secara serentak aplikasi berkenaan di telefon pintar masing-masing dan diberi tunjuk ajar selok-belok penggunaannya oleh jurulatih cabang yang telah menghadiri kursus sehari pada 18 September lalu.


Rusnah yang juga Ketua Cabang KEADILAN Tangga Batu merangkap Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Tangga Batu bersyukur kerana aplikasi yang dibangunkan Rafizi itu sudah mula mendapat sambutan menggalakkan malah lebih ramai yang akan mendaftar dalam masa terdekat.

Program berkenaan diadakan di Pejabat Parlimen Tangga Batu dengan bantuan daripada Ahli Jawatankuasa Cabang, Angkatan Muda KEADILAN (AMK) Cabang dan Wanita Cabang bagi memastikan setiap sukarelawan yang didaftarkan memahami konsep dan bagaimana mahu menyertai aktiviti yang akan dijalankan.


Seorang sukarelawan yang mendaftar pada program berkenaan, Pangaikarasi a/p Palani berkata, aplikasi itu memudahkannya mendapat maklumat terkini berkaitan program dan kempen menambah sukarelawan termasuk phonebank, canvassing (culaan pintu ke pintu) dan kursus PACA khusus bagi hari mengundi.

Beliau yang berazam akan mengajak rakan-rakannya membantu dalam PRU-15 menambah, ia bakal menjadi pemangkin kepada kemenangan KEADILAN dan PH di Tangga Batu sekaligus membuktikan sokongan rakyat dapat dikekalkan setelah menerima bantuan daripada Ketua Wanita Cabang KEADILAN Tangga Batu, Albasyariah Abdul Latif.


Menurut statistik yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), jumlah pengundi berdaftar di parlimen ini telah melebihi 115 ribu orang setakat Ogos lalu.

Daripada jumlah berkenaan, lebih 80 ribu pengundi merupakan kaum Melayu, kira-kira 25 ribu pengundi berbangsa Cina dan lebih empat ribu merupakan pengundi kaum India.


Rusnah optimis dengan strategi yang disusun secara bersasar dan terus mendahulukan kepentingan rakyat, beliau yakin semua pihak dapat menerima pembaharuan yang telah dilaksanakan sejak empat tahun lalu termasuk bantuan yang telah disalurkan kepada hampir setiap komuniti dalam kawasannya.


Selain itu, beberapa lagi pendekatan khusus bagi memberi pencerahan terhadap aplikasi CISTA ini sedang dirangka dan akan dilaksanakan di setiap DUN termasuk di Paya Rumput, Pantai Kundor, Kelebang dan Sungai Udang.


Adalah diharapkan lebih ramai sukarelawan dapat memuat turun aplikasi berkenaan di bit.ly/DownloadCISTA atau terus berhubung dengan pegawai Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tangga Batu di talian 06-3370404 untuk mendapatkan maklumat lanjut.

bottom of page