top of page
  • newsatmy

Aplikasi Sugarbook disekat SKMM

16 Februari 2021

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menyekat akses ke laman cari teman, iaitu Sugarbook hari ini selepas menyatakan ia akan menyiasat aplikasi berkenaan.


Laman web perkhidmatan itu didapati tidak dapat diakses melalui beberapa penyedia perkhidmatan internet, manakala penyedia lain memaparkan notis SKMM yang menyatakan:


"Laman web ini tidak tersedia di Malaysia kerana melanggar undang-undang negara".


Buat masa ini, SKMM belum mengeluarkan sebarang kenyataan mengenai sekatan tersebut.

Sugarbook menawarkan perkhidmatan mencari teman antara wanita muda yang digelar sebagai 'sugar baby' dan lelaki yang lebih tua yang digelar ‘sugar daddy’.


Minggu lalu, Sugarbook menjadi perhatian selepas mendakwa semakin ramai wanita Malaysia terutamanya penuntut 10 universiti yang menawarkan diri sebagai 'sugarbaby' di laman aplikasi itu.


SKMM hari ini berkata ia akan mengambil tindakan terhadap pengguna dan pemilik platform itu sekiranya didapati melakukan aktiviti yang melanggar undang-undang negara.



Suruhanjaya itu juga menyatakan PDRM akan mengambil tindakan lebih lanjut sekiranya terdapat unsur kegiatan pelacuran dengan menggunakan aplikasi itu.


Sugarbook mencetuskan kontroversi pada 2019 selepas papan iklan elektronik mengenai perkhidmatan itu dipaparkan di Kuala Lumpur.


Ini menyebabkan DBKL mengarahkan iklan itu harus ditarik balik, namun perkhidmatan aplikasi tersebut masih terus dapat diakses. - PN Online

bottom of page