• Nihaba

Arif Aiman sarung jersi Harimau Malaya

3 Disember 2021

PETALING JAYA: Kehadiran Arif Aiman Hanapi memberi sedikit kegembiraan kepada Harimau Malaya yang menerima tamparan hebat ekoran kehilangan tiga pemain, Akram Mahinan, Mohamadou Sumareh dan Kenny Pallraj.


Dua tonggak Kuala Lumpur City (KL City), Akram dan Kenny tidak dapat menyertai skuad kebangsaan selepas mengalami kecederaan dalam final Piala Malaysia menentang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selasa lalu, manakala Sumareh mempunyai masalah peribadi.

“Kita dapat perkhabaran Sumareh tidak dapat bersama pasukan atas sebab peribadi jadi kita buat keputusan menggantikan tempatnya dengan Arif.

“Selepas aksi final (Piala Malaysia) saya ada berbual dengan Arif dan dia bersedia untuk bersama pasukan.

“Kehadirannya sudah pasti memberi kegembiraan kepada skuad negara,” kata Cheng Hoe pada sesi latihan di Kelana Jaya, semalam.


Seorang lagi pemain dipanggil menyertai pasukan kebangsaan adalah penjaga gol Petaling jaya Jaya City, Kalamullah ­Al-Hafiz Mat Rowi bagi menggantikan tempat Azri Ghani yang mengalami kecederaan bahu ketika sesi latihan.


Ketika ditanya mengenai kerisauan jentera tengah yang hanya memiliki Baddrol Bakhtiar dan Mukhairi Ajmal, Cheng Hoe mengakui perkara itu juga menjadi kebimbangan utamanya.

Begitupun, kesuntukan masa menyaksikan beliau akan menggunakan barisan pemain yang sedia ada.

“Kita masih ada beberapa pilihan pemain antaranya Syafiq Ahmad, Kogi (Kogileswaran Raj) dan Junior Eldstal yang mampu bermain di posisi tersebut.

“Kita telah melakukan kajian dan analisis berkenaan posisi tengah, disebabkan kesuntukkan masa kita akan guna apa saja yang ada,” kata Cheng Hoe.


Senarai akhir 24 pemain ke Piala AFF 2020 yang bermula di Singapura, Ahad ini akan diumumkan hari ini.