top of page
  • admin

Ariff Farhan Mahu Pastikan Kedah Lebur Rekod Tanpa Kalah Sri Pahang

31 Mac

Muhammad Ariff Farhan Bin Md Isa boleh dikatakan berada pada prestasi terbaiknya musim ini bersama Kedah Darul Aman (Kedah), ekoran aksi beliau yang konsisten dalam setiap perlawanan dihadapi pasukan tersebut. Bersama Kedah, Ariff telah membantu pasukan tersebut menjadi salah satu pasukan pilihan yang mempamerkan corak permainan berkualiti tinggi bawah kendalian Nafuzi Zain. Untuk aksi keenam Liga Super, cabaran baharu menanti Ariff bersama rakan sepasukan untuk menghadapi satu lagi kelab yang tampil konsisten dalam setiap perlawanan iaitu Sri Pahang. Jelas Ariff, beliau memasang tekad untuk memberi aksi yang terbaik bersama Kedah di Stadium Darul Makmur dalam usaha untuk menewaskan Sri Pahang bagi terus memastikan tiga mata berharga milik mereka. Menerusi dua kemenangan berturut-turut dilakar Kedah sebelum ini, pertahanan kiri Kedah itu mahu meneruskan momentum positif dalam usaha terus meraih tiga mata penting dalam saingan liga.

Ariff turut sedar rekod semasa Sri Pahang yang ketika ini tidak tewas dalam semua perlawanan dihadapi bakal menjadi cabaran besar buat Kedah untuk meleburkan rekod tersebut.

Pemain itu juga menyeru supaya rakan sepasukan lain mampu memberikan fokus terbaik untuk menurut segala perancangan yang sudah diatur Nafuzi bagi mengatasi Sri Pahang. “Untuk berhadapan Sri Pahang, kita semua tahu lebih mencabar kerana mereka belum lagi tewas setakat ini dan inilah cabaran seterusnya yang kami perlu hadapi bagi membuktikan kemampuan kami kepada semua penyokong. “Apa yang lebih utama adalah memastikan kami dapat membawa pulang tiga mata berharga dari tempat lawan sekali gus kami perlu memadam rekod tanpa kalah dimiliki Sri Pahang setakat lima perlawanan dalam Liga Super lalu. “Jadi kami perlu kekalkan fokus dalam mempersiapkan diri dengan usaha dan perancangan diatur ketua jurulatih Nafuzi Zain untuk memastikan kami benar-benar bersedia dan berada pada tahap terbaik untuk memulakan sambungan aksi liga pada Ramadan ini,” katanya menerusi Harian Metro.

Setakat ini Kedah berada di kedudukan ketiga dalam carta liga menerusi empat kemenangan serta satu kekalahan daripada lima perlawanan dihadapi mereka. Pemain berusia 26 tahun itu juga sudah pun membuka akaun jaringan pertama beliau musim ini dengan meledak satu gol cantik ketika berhadapan Perak dalam aksi awal liga. Sumber:Harian Metro






bottom of page