top of page
  • Farah

Armada BERSATU buat laporan polis terhadap Zahid


KUALA LUMPUR, 30 Ogos – Armada BERSATU Malaysia menyifatkan kenyataan Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Taklimat Khas Presiden, Sabtu lalu, berbaur hasutan dan mengancam keselamatan negara.


Sehubungan itu, Armada telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi kerana berpendapat intipati ucapan itu dengan jelas menghasut rakyat.

Ketua Penerangan Armada BERSATU Malaysia, Mohd Ashraf Mustaqim berkata Zahid dalam ucapannya telah menghina dan memfitnah institusi kehakiman negara, Jabatan Peguam Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Yang di-Pertuan Agong berikutan keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

“Ingin menanam kebencian, menanam prasangka supaya rakyat tidak mempercayai integriti institusi-institusi ini, sekali gus mengancam keselamatan negara.

“Zahid telah membuat fitnah terhadap sistem kehakiman negara yang kononnya telah dinodai oleh tangan-tangan ghaib, ia jelas telah menghasut rakyat dan merosakkan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman negara,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis pada Isnin.


Ashraf berkata ucapan itu juga cuba menyemarakkan api kemarahan ahli UMNO yang hadir pada taklimat itu untuk membenci institusi kehakiman negara.

“Zahid juga menfitnah mahkamah, kononnya sudah bersiap sedia untuk membebaskan Syed Saddiq dan Lim Guan Eng walaupun kesnya belum selesai dibicarakan.

“Sedangkan mahkamah kita bersifat bebas, terbukti sejak di bawah kerajaan Perikatan Nasional kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, tiada satu campur tangan pun di dalam sistem kehakiman,” katanya.


Dalam Taklimat Khas Presiden UMNO pada Sabtu, ucapan-ucapan pemimpin UMNO antaranya Ahmad Zahid; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said turut menyentuh berkaitan kes Najib itu.

bottom of page