top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Armada BERSATU cadang KPT tangguh kutipan yuran pendaftaran IPTA bagi pelajar baharu

22 September 2021

KUALA LUMPUR: Armada BERSATU mencadangkan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) agar pelajar-pelajar baharu yang bakal menyambung pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara diberikan sedikit kelonggaran.


Ketua Biro Pendidikan Armada BERSATU Nasional, Muhammad Zikri Zulkifli berkata kelonggaran tersebut adalah melibatkan penangguhan proses pembayaran yuran pendaftaran pelajar-pelajar baharu tersebut sekurang-kurangnya satu semester atau sehingga pinjaman PTPTN diluluskan.


Jelas beliau, pandemik COVID-19 yang melanda negara pada ketika ini bukan sahaja memberi ancaman pada kesihatan, malah turut memberi kesan terhadap sektor ekonomi negara dan juga masyarakat.


“Umum mengetahui bahawa proses permohonan PTPTN mengambil masa dan sudah menjadi kebiasaan sebelum ini untuk para pelajar membayar yuran pendaftaran menggunakan wang mereka sendiri.


“Namun, akibat situasi yang luar biasa pada hari ini, kami dari Armada BERSATU mencadangkan agar perkara ini dapat dipermudahkan.


“Kami berharap agar tidak ada pelajar yang terpaksa menolak tawaran sambung belajar akibat kekangan untuk membayar yuran pendaftaran yang boleh mencecah sehingga dua ribu ringgit,” katanya dalam satu kenyataan.


Menurut pengumuman KPT, pelajar IPT termasuklah IPTA dan IPTS akan mula kembali ke kampus secara fizikal mulai bulan Oktober.


Kemasukan itu juga bakal melibatkan pendaftaran pelajar baharu ke kampus masing-masing di seluruh negara.


Dalam pada itu, Muhammad Zikri turut menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak KPT kerana telah memberi potongan sebanyak 20 peratus daripada jumlah yuran pengajian bagi semester 2021/2022.


“Di kesempatan ini, Armada BERSATU juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak KPT yang telah memberikan potongan sebanyak 20 peratus daripada jumlah yuran pengajian bagi semester 2021/2022 di IPTA seluruh negara yang memberi manfaat kepada sekitar 500,000 orang pelajar.


“Armada BERSATU amat berharap agar cadangan ini dapat dipertimbangkan dengan sebaiknya agar kita dapat terus memelihara kepentingan pendidikan anak bangsa,” katanya.

bottom of page