top of page
  • newsatmy

ARMADA gesa kerajaan perkenal elaun minimum pelajar internship


KUALA LUMPUR, 19 Feb – Sayap pergerakan pemuda BERSATU menggesa kerajaan memperkenalkan elaun minimum bagi pelajar yang sedang menjalani latihan industri atau ‘internship’.


Bagi merealisasikan hasrat itu, EXCO ARMADA, Harris Idaham Rashid, berharap libat urus di antara kerajaan dan pemegang taruh dijalankan dalam masa terdekat supaya satu kata putus dapat dicapai secepat mungkin.


Tegasnya, isu berkenaan perlu diselesaikan secara menyeluruh bagi mengelak pelajar berkenaan dilayan seperti tenaga buruh kasar walhal mereka juga perlu elaun untuk menampung kos seharian.


“ARMADA BERSATU berpendapat anak muda tidak boleh dijadikan buruh kasar di negara sendiri. Kita harus sedar bahawa pelajar internship (praktikal) juga perlu membiayai kos untuk hadir ke pejabat sama seperti pekerja lain.

“Syarikat swasta mengutip untung hasil daripada tenaga kerja termasuk pelajar internship. Syarikat juga telah menjimatkan satu amaun yang signifikan dengan mengambil pelajar internship untuk berkhidmat. Maka wajar untuk kerajaan mewajibkan satu elaun minimum diberikan.

“Industri di Malaysia harus bergerak mengikut peredaran zaman, sudah tiada ruang untuk syarikat memperoleh perkhidmatan percuma daripada manusia.

“Selari dengan cita-cita Malaysia untuk menjadi negara maju, isu asas seperti menghormati tenaga keringat anak muda yang sedang menimba pengalaman bekerja harus diselesaikan dengan tuntas,” katanya dalam kenyataan, semalam.


Kenyataan itu adalah respon balas kepada Persekutuan Majikan-majikan Malaysia (MEF) yang menolak cadangan untuk mewajibkan pemberian elaun kepada pelajar yang menjalani latihan industri di sektor swasta.


Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman, dilaporkan berkata kerajaan sebaliknya harus memberi pertimbangan untuk memberi lebih banyak insentif kepada majikan bagi mengambil lebih ramai pelatih dan kemudian boleh mewajibkan semua pelajar menjalani latihan amali berkenaan.


MEF berpendirian latihan amali adalah peluang untuk pelajar atau graduan baharu memperoleh pengalaman industri berharga yang akan membantu dalam memudahkan mereka mendapat pekerjaan.


Dalam pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan ketika itu, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, pada tahun lalu, kerajaan menyarankan agar pihak swasta memberi elaun sekurang-kurangnya RM900 kepada pelajar yang menjalani program latihan industri.


Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) turut meminta sektor swasta yang menyediakan latihan industri kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) supaya mengikut langkah kerajaan yang memberi elaun bulanan RM900.


Memetik kenyataan Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, selain menampung kelangsungan hidup, pemberian elaun juga mampu menaikkan motivasi pelajar untuk mempamerkan kualiti kerja yang baik serta menjadikan latihan industri medan mempraktikkan apa yang dipelajari di IPT.

bottom of page