top of page
  • Writer's pictureArissa Azman

Armada Johor siap sedia jika UMNO ‘ganggu’ kemakmuran negeri

16 NOVEMBER 2021

JOHOR BAHRU: Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor mendakwa cabaran dilontarkan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin supaya BERSATU menarik sokongan di negeri itu mempunyai agenda tersendiri.


Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan berkata, ini kerana terdapat pihak yang cemburu dengan kejayaan Presiden BERSATU itu semasa menjadi Perdana Menteri dan usaha dilakukan beliau kini membuahkan hasil.


“Kejayaan demi kejayaan yang dibuktikan Tan Sri Muhyiddin sepanjang tempoh menerajui kepemimpinan negara termasuk perancangan teliti dalam menangani pandemik COVID-19 yang kini sudah membuahkan hasilnya.


Ketua Armada BERSATU Johor, Muhammad Shamsuddin Paijan

“Jadi, apakah Tan Sri Shahrir Samad dan Datuk Nur Jazlan mencemburui segala kejayaan dan pencapaian cemerlang menerusi pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Tan Sri Muhyiddin?


“Tindakan kedua-dua pemimpin UMNO itu jelas sekali seperti mahu memburuk-burukkan kewibawaan serta kepemimpinan Tan Sri Muhyiddin menerusi momokan kenyataan provokasi dan bersifat populis semata-mata dan akhirnya memakan diri,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Pada 12 November lalu, Shahrir yang juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru menerusi hantaran dalam Facebook miliknya menulis, UMNO Johor bersedia menghadapi PRN jika Perikatan Nasional (PN) mahu menarik sokongan terhadap kerajaan negeri.


Sehari selepas itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi PN menyifatkan veteran UMNO itu sebagai ‘bodoh’ dan ‘tidak bertanggungjawab’ kerana mencabarnya mengarahkan ADUN BERSaTU menarik sokongan terhadap kerajaan negeri Johor yang diketuai UMNO.


Kelmarin, Nur Jazalan yang juga Timbalan Pengerusi UMNO Johor menyifatkan kenyataan Muhyiddin yang mengugut boleh menarik sokongan parti itu terhadap kerajaan negeri Johor sebagai hanya berani cakap, tetapi takut hendak buat.


Mengulas lanjut, Muhammad Shamsuddin berkata, sepatutnya kedua-dua pemimpin UMNO itu menjunjung titah Sultan Johor yang mahukan kestabilan dan kemakmuran politik Johor terjamin.


Katanya, Armada Johor sangat yakin rakyat boleh menilai dengan bijak pemimpin yang ikhlas memastikan keselamatan dan kehidupan rakyat terus terjaga seperti dikatakan Muhyiddin, iaitu memastikan setiap meja di rumah rakyat sekurang-kurangnya ada makanan untuk dimakan.


Sehubungan itu, katanya, Armada Johor menggesa rakyat untuk menolak pemimpin tamak dan gila kuasa yang memperjudikan rakyat demi kepentingan peribadi mereka.


“Armada BERSATU Johor juga sentiasa bersiap siaga dalam segala kemungkinan yang berlaku jika ada pemimpin UMNO yang cuba mengganggu-gugat kestabilan dan kemakmuran negeri Johor khususnya.


“Seluruh anak muda Johor juga akan memastikan segala perkara yang boleh mengganggu-gugat kemakmuran negeri Johor akan ditentang habis-habisan,” katanya.

bottom of page