top of page
  • newsatmy

Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$109.18 bilion pada akhir Julai 2022


KUALA LUMPUR,30 Ogoa: Aset rizab rasmi Malaysia berjumlah AS$109.18 bilion (AS$1=RM4.48) pada akhir Julai 2022 berdasarkan format 'Special Data Dissemination Standard' (SDDS) Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).


Bank Negara Malaysia (BNM) dalam satu kenyataan berkata aset mata wang asing lain pula berjumlah AS$5.3 juta.


Butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF memberikan maklumat akan datang mengenai saiz, komposisi dan kebolehgunaan rizab, dan aset mata wang asing lain, serta jangkaan dan prospek aliran masuk dan keluar pertukaran asing bagi kerajaan Persekutuan dan BNM untuk tempoh 12 bulan akan datang, kata BNM. "Bagi tempoh 12 bulan akan datang, aliran keluar jangka pendek yang telah dikenal pasti bagi pinjaman, sekuriti dan deposit termasuk pembayaran balik berjadual peminjaman luar negeri oleh kerajaan dan kematangan Bil Antara Bank dalam mata wang asing BNM berjumlah AS$8.48 billion.

"Kedudukan hadapan pendek adalah sebanyak AS$14.93 bilion setakat akhir Julai mencerminkan pengurusan mudah tunai ringgit dalam pasaran wang," kata bank pusat itu menerusi kenyataan Pemakluman Terperinci Rizab Antarabangsa pada akhir Julai 2022 yang dikeluarkan hari ini.


Sejajar dengan amalan yang diterima pakai sejak April 2006, data tersebut tidak termasuk unjuran aliran masuk mata wang asing daripada pendapatan faedah dan pengeluaran pinjaman projek yang berjumlah AS$2.35 bilion bagi tempoh 12 bulan akan datang, katanya.

Menurut BNM, satu-satunya saluran keluar bersih jangka pendek aset mata wang asing luar jangka ialah jaminan kerajaan bagi hutang luar negara dalam mata wang asing yang matang dalam tempoh setahun berjumlah AS$399.5 juta.

"Rizab antarabangsa Malaysia tidak mempunyai sebarang pinjaman dalam mata wang asing yang terkandung opsyen, kemudahan kredit belum digunakan dan kemudahan kredit tanpa syarat yang diberikan oleh atau kepada bank pusat lain, organisasi antarabangsa, bank dan institusi kewangan lain.

"BNM juga tidak terbabit dalam urus niaga opsyen mata wang asing terhadap ringgit," kata bank pusat itu.


Secara keseluruhan, butiran terperinci rizab antarabangsa mengikut format SDDS IMF menunjukkan rizab antarabangsa Malaysia pada akhir bulan Julai 2022 tetap boleh guna.

-- BERNAMA

bottom of page