top of page
  • newsatmy

Ashraf tubuh NGO bantu asnaf

3 Mac 2021

KUALA LUMPUR - Usaha pelakon, Ashraf Muslim bukan sekadar menghantar sumbangan dan turun padang dalam kerja kemanusiaan, malah berhasrat menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi menjalankan misi bantuan kepada para individu yang memerlukan.


Impian menubuhkan NGO mula tercetus apabila pelakon drama Biar Aku Jadi Penunggu dan Dia Menantu Rahsia itu giat menjalankan misi kemanusiaan seperti Misi Khas Bantuan Banjir di Masjid Kampung Lechar, Ulu Dong, Pahang yang musnah teruk baru-baru ini, lapor BHOnline.


"Nama pertubuhan sudah ada, tetapi masih belum boleh dikongsi. Insya-Allah, saya akan umumkan tidak lama lagi. Ini kerana saya masih dalam usaha mendaftar dan sebagainya.


"Jika ikutkan, sudah lama saya berhasrat menubuhkan NGO ini. Jujurnya, jiwa saya lebih ke arah aktiviti kemanusiaan, tetapi mungkin baru sekarang dibukakan jalan.


"Sekarang pun sedang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), jadi aktiviti penggambaran tidak boleh dijalankan di kawasan terbuka. Saya pula hanya duduk di rumah.


"Jadi, lebih baik saya melakukan perkara yang Allah suka. Mengapa tidak saya menggunakan peluang ini untuk membantu golongan memerlukan seperti golongan asnaf, masjid, mangsa banjir dan sebagainya," katanya kepada BHOnline.


Ashraf berkata, beliau memperoleh kekuatan apabila ramai rakan berhasrat menyertai NGO yang ditubuhkan untuk misi kemanusiaan.


"Sebenarnya, saya sudah banyak menjalankan misi kemanusiaan sebelum ini. Mungkin dengan adanya NGO, saya lebih aktif lagi," katanya.


Berkongsi mengenai misi bantuan di Pahang baru-baru ini, Ashraf bersyukur mendapat sokongan sangat baik daripada pelbagai pihak.


"Saya tak sangka boleh mengumpulkan RM18,000 (S$6,000) dalam tempoh tiga hari untuk membantu Masjid Kampung Lechar, Ulu Dong yang perlu menggantikan permaidani baru disebabkan musnah teruk akibat banjir baru-baru ini.


"Alhamdulillah, saya dan pasukan berjaya memasang permaidani masjid supaya orang kampung boleh menunaikan solat jemaah seperti biasa.


"Saya hanya berkongsi dalam laman Instagram, tetapi tidak sangka, ramai pula bermurah hati mahu membantu. Saya boleh mencari syarikat besar untuk mendapatkan sumbangan, tetapi kali ini, hati saya tergerak mahu berkongsi dengan pengikut dalam laman sosial.


"Apa salahnya berkongsi pahala dan rezeki bersama mereka pula," katanya.


Ashraf berkata, ini juga kali pertama dapat membantu membaiki masjid yang musnah teruk. Sebelum ini, dia lebih banyak membantu mangsa banjir dengan menghulurkan bantuan makanan dan keperluan.


Sementara itu, Ashraf berkata, dia masih berlakon, cuma tiada sebarang penggambaran dijalankan pada fasa PKP, menurut BHOnline.


"Saya tidak menafikan pendapatan agak merosot, tetapi saya percaya pada rezeki Allah.


"Saya memang tiada pendapatan ketika tempoh PKP. Sakit memang sakit, tetapi saya boleh membantu orang, semoga Allah juga membantu saya," katanya.


bottom of page