• newsatmy

Astro catat pendapatan RM1.11 bilion, untung RM168 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2021

26 Mac 2021

KUALA LUMPUR: Astro Malaysia Holdings Berhad mencatatkan pendapatan sebanyak RM1.11 bilion dan keuntungan selepas cukai RM168 juta bagi suku keempat tahun kewangan 2021.


Kumpulan itu turut menyaksikan pendapatan pengiklanan (ADEX) meningkat kepada RM130 juta bagi tempoh yang sama.


“Dengan tiga suku berturut-turut menyaksikan pemulihan, Astro menutup tahun kewangan 2021 dengan pendapatan dan keuntungan selepas cukai yang memberangsangkan, masing-masing sebanyak RM4.4 bilion dan RM540 juta,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan.


Tan berkata, prestasi positif ini adalah susulan penawaran pelbagai produk dan ciri baharu yang menarik termasuk cloud recording, play from start dan pengenalan lebih banyak saluran dengan kapasiti definisi tinggi.


Dengan penawaran baharu ini katanya, Astro menyaksikan langganan Ultra Box 4K-UHD meningkat lima kali ganda kepada 230,000 langganan, dan penstriman Video On Demand meningkat tiga kali ganda kepada 222 juta.


Kata Tan, Astro juga sedang menaik taraf lebih banyak salurannya daripada definisi standard (SD) kepada definisi tinggi (HD) untuk memperkayakan pengalaman tontonan pelanggan bergerak ke hadapan.


Tambahnya, prestasi Astro yang memberangsangkan bagi suku keempat turut dibantu oleh peningkatan Adex serta prestasi Astro Go Shop yang berjaya mencatat pendapatan sebanyak rm461 juta, paras tertingginya setakat ini.


“ADEX pulih selepas aktiviti penggambaran dapat diteruskan semula, dibantu oleh penyiaran pelbagai siri Astro Originals yang menarik.


“Pendapatan prabayar NJOI meningkat 36% suku ke suku sementara penawaran Astro Broadband turut menyaksikan sambutan yang memberangsangkan dengan peningkatan pelanggan lebih 60% tahun ke tahun,” katanya.


Bergerak ke hadapan katanya, Astro akan kekal mengambil pendekatan berhati-hati susulan keadaan ekonomi yang dijangka masih tidak menentu walaupun vaksin COVID-19 sudah mula diedarkan.


Susulan prestasi ini, Astro mengumumkan dividen 1.5 sen sesaham bagi suku keempat tahun kewangan 2021.


Ini menjadikan dividen keseluruhan untuk tahun kewangan 2021 sebanyak 8.0 sen sesaham, melebihi dividen 7.5 sen sesaham pada tahun kewangan 2020. - Astro Awani

Langgani Buletin Kami

  • White Facebook Icon

© 2020 by EPS Digital Tech Sdn Bhd.