top of page
  • newsatmy

Astro terokai arena antarabangsa hasilkan drama premium adaptasi siri luar negara

13 April 2022

Astro, syarikat penyiaran terkemuka Malaysia menerusi anak syarikatnya iaitu Astro Shaw peneraju industri perfileman tempatan, telah mendapat lesen hak cipta drama siri thriller yang tercalon di BAFTA Awards dan British Screenwriters' Awards, ‘Liar’ untuk adaptasi ke dalam format Malaysia melalui produksi independent televisyen, filem dan digital serta syarikat pengedaran terkemuka, All3Media International. Liar merupakan idea asal oleh calon penerbit dan penulis skrip terbaik di BAFTA and Golden Globe, Harry dan Jack Williams. Selain Liar, konten yang turut akan mendapat hak cipta adaptasi menerusi kerjasama bersama Astro adalah drama siri ‘Call My Agent!’ (Dix Pour Cent), pemenang dua tahun berturut-turut bagi Drama Siri Televisyen Terbaik di Globes de Cristal Awards, France (2018 & 2019).


Hasil usaha sama ini turut melibatkan Double Vision sebagai produksi yang akan menghasilkan Liar. Produksi Double Vision yang banyak menghasilkan karya-karya hebat seperti nominasi TV Format Adaptasi Terbaik (Skrip) di The ContentAsia Awards, ‘The Bridge’, juga memainkan peranan penting dalam mendapatkan hak cipta adaptasi ini.


Diterbitkan oleh Two Brothers Pictures untuk ITV dan Sundance TV pada tahun 2017, Liar mengangkat genre thriller yang meneroka tema persefahaman, stereotaip jantina di zaman masa kini, kekeluargaan serta penipuan. Drama hebat ini telah berjaya meraih jumlah tontonan paling tinggi 7 juta dan sekali gus mencatatkan jumlah terbesar bagi drama baru yang pernah ditonton di ITV sejak 2014. Tambah lagi, drama ini juga ditayangkan di Australia dan New Zealand. Manakala versi remake di Spain pada tahun 2020 menggunakan tajuk Mentiras. Terkenal dengan jalan cerita yang penuh plot twist dan watak-watak yang menonjol sehingga berjaya mencetus keterujaan dalam kalangan penonton untuk menantikan setiap episod, Liar mengisahkan tentang dua insan yang bertemu dalam sebuah temu janji, namun semuanya berubah di luar jangkaan pada hari keesokannya. Seorang telah memperdaya, manakala seorang lagi diperdaya. Oleh sebab kuasa, penipuan mampu memadamkan kebenaran.

bottom of page