top of page
admin

Atasi kemelut ekonomi rakyat perkara pertama dilakukan PN jika dipilih jadi kerajaan


TASEK GELUGOR, 17 Okt – Soal menjaga kepentingan rakyat akan menjadi perkara pertama yang akan dibincangkan serta diberi tumpuan oleh Perikatan Nasional (PN) sekiranya dipilih menjadi kerajaan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).


Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin berkata ini kerana rakyat kini berdepan dengan cabaran meneruskan kehidupan antaranya disebabkan inflasi dan kenaikan harga barang serta pendapatan yang tidak mencukupi.


Malah tambahnya, kadar kemiskinan dalam kalangan rakyat juga semakin bertambah khususnya selepas pandemik Covid-19 yang kini sudah melebihi 40 peratus berbanding sebelum ini.


“Sebab itu pada hari pertama apabila kita (PN) berjaya membentuk kerajaan, perkara pertama yang kita akan bincangkan adalah bagaimana untuk meningkatkan pendapatan rakyat.

“Apa bantuan yang boleh kita berikan kepada rakyat untuk menghadapi masalah besar ini dan bagaimana untuk kita menghidupkan semula perniagaan serta meningkatkan ekonomi negara,” katanya ketika berucap pada majlis Jelajah Prihatin PN Parlimen Tasek Gelugor, di sini, pada Ahad.


Majlis itu turut dihadiri Ketua Penerangan BERSATU Malaysia, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Presiden Gerakan, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai dan pemimpin-pemimpin PN negeri lain.


Menurut Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, PN meskipun masih merupakan gabungan politik yang baharu, namun mempunyai pengalaman dalam pentadbiran kerajaan sekali gus mampu menyelesaikan isu-isu yang membelenggu rakyat ketika ini terutama berkaitan dengan tekanan ekonomi.


Beliau sendiri katanya, mempunyai pengalaman luas dan panjang sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri sebelum ini malah, pemimpin-pemimpin PAS termasuk Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang juga merupakan pemimpin cukup berpengalaman.


Dalam masa sama jelasnya, PN juga bakal menawarkan sebuah Kerajaan Pusat yang bebas dan bersih daripada sebarang amalan rasuah sekiranya dipilih rakyat pada PRU-15.

“Malah, jika terdapat laporan wujudnya korupsi dalam pentadbiran kita, PN tidak akan menghalang pihak berkuasa seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk mengambil tindakan, waima individu itu memegang jawatan tertinggi termasuk Perdana Menteri sekali pun,” katanya.


Dalam pada itu Muhyiddin menegaskan, keputusan seramai 12 menteri PN mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong memohon pertimbangan supaya Parlimen tidak dibubarkan bukan kerana takut atau gentar berdepan PRU-15.


Sebaliknya jelas beliau, keputusan itu dibuat kerana memikirkan nasib rakyat yang bakal berdepan kesukaran memandangkan bencana banjir besar diramal berlaku sekali gus berharap tumpuan kerajaan sepenuhnya dapat diberikan untuk membantu rakyat.


Dalam masa sama, beliau mengingatkan keputusan Barisan Nasional (BN) mendesak supaya PRU-15 disegerakan berkemungkinan disebabkan pemimpin di dalam BN yang berdepan tuduhan rasuah di mahkamah berasakan boleh diselamatkan sekiranya parti itu merampas semula Kerajaan Pusat.


“Sehubungan itu, kita mahu rakyat menunaikan tanggungjawab dengan menggunakan sepenuhnya hak mereka sebagai pengundi, supaya keputusan terbanyak rakyat, kalau boleh 100 peratus (keluar mengundi) supaya kerajaan yang benar-benar bersih dapat dibentuk pada PRU-15,” katanya.

Comments


bottom of page