• Arissa Azman

Atasi pencerobohan tanah Orang Asli

8 NOVEMBER 2021

BENTONG: Rakyat negeri ini mempunyai hak meminta apa sahaja yang wajar termasuklah dalam isu tanah yang seharusnya diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.


Bekas Ahli Parlimen Jerantut, Tan Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar berkata, beliau optimis kerajaan negeri pimpinan Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail akan memberi perhatian kepada permasalahan rakyat termasuk isu persempadanan tanah masyarakat Orang Asli.


“Saya diberitahu oleh tok Batin tadi berkaitan dengan beberapa perkara membabitkan kerajaan negeri, Insya Allah dalam masa terdekat ini saya akan berjumpa dengan Menteri besar Pahang dan akan ceritakan kesempitan hidup bagi masyarakat Orang Asli di Kampung Orang Asli Sungai Dua.


“Ini adalah tanggungjawab kerajaan untuk membela nasib Orang Asli dan juga masyarakat Melayu serta pelbagai kaum di seluruh Pahang,” katanya selepas menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada masyarakat Orang Asli Kampung Sungai Dua, di sini semalam.


Turut hadir Pegawai Khas Menteri Besar, Datuk Jasvir Singh Ram Singh dan Tok Batin Kampung Orang Asli Sungai Dua, Asra Jali.Tengku Azlan berkata, tiada halangan buat semua rakyat negeri ini untuk meminta apa sahaja yang wajar daripada kerajaan negeri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan rakyat.


“Saya yakin kerajaan negeri mampu menyelesaikan masalah rakyat, kalau tidak apa peranan kerajaan, itu kerja dia (kerajaan negeri) untuk menyelesaikan masalah rakyat.


“Itu sebab diorang (wakil rakyat) dipilih oleh rakyat untuk mentadbir negeri dengan baik dan membela nasib rakyat yang susah,” katanya.


Sementara itu Asra, berkata, masalah persempadanan tanah yang masih belum diwartakan menjadi isu yang paling kritikal membelenggu masyarakat Orang Asli di situ, faktor berkenaan menyebabkan tanah yang diusahakan penduduk Orang Asli di situ sering diceroboh oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.