ATB lancar Taksonomi ASEAN Kewangan Lestari Versi 2
KUALA LUMPUR 28 Mac: Lembaga Taksonomi ASEAN (ATB) yang mewakili badan sektoral kewangan ASEAN pada Isnin mengeluarkan Taksonomi ASEAN untuk Kewangan Lestari Versi 2.
Dalam kenyataan semalam, ATB berkata, versi 1 menggariskan rangka kerja Taksonomi ASEAN, manakala versi 2 terdiri daripada rangka kerja asas lengkap yang mengandungi metodologi yang terperinci bagi menilai aktiviti-aktiviti ekonomi.
“Versi berkenaan turut meliputi kriteria saringan teknikal (TSC) untuk sektor fokus pertama iaitu sektor bekalan elektrik, gas, wap dan penyaman udara (sektor tenaga) di bawah Piawaian Lanjutan. “Versi 2 dibina berdasarkan pemikiran konsep rangka kerja berbilang peringkat yang dinyatakan dalam versi 1.
“Rangka kerja berbilang peringkat ini bertujuan memudahkan peralihan negara anggota ASEAN untuk mengiktiraf kepelbagaian dalam pembangunan ekonomi, sektor kewangan dan kematangan infrastruktur,” katanya.
ATB berkata melalui rangka kerja asas tersebut yang mengguna pakai pendekatan berasaskan prinsip, pengguna akan dapat menilai aktiviti ekonomi secara kualitatif menggunakan soalan panduan, pokok keputusan dan kes gunaan untuk keempat-empat objektif alam sekitar dan tiga kriteria penting (EC).
“Versi 2 turut menggariskan kepentingan aspek sosial dalam taksonomi, dengan menyertakannya sebagai EC ketiga Taksonomi ASEAN, di samping ‘tidak memberi ancaman besar’ (DNSH) dan ‘Langkah Pemulihan Kepada Peralihan’ (RMT).
“Dengan kombinasi bersama-sama ciri lain seperti pengembangan kriteria DNSH, blok pembinaan bersama diwujudkan untuk membolehkan peralihan yang teratur dan adil serta mendorong penerimagunaan kewangan mampan oleh negara-negara ASEAN,” katanya.
Menurut ATB, penerbitan versi 2 ini memaparkan komitmen ATB untuk menyediakan rangka kerja bersama berasaskan sains kepada pihak berkepentingan di samping tampil inklusif dan memenuhi tahap pembangunan yang berbeza bagi negara anggota.
Berikutan penerbitan versi 2, ATB menyatakan akan mengadakan perundingan dengan pihak berkepentingan utama berhubung metodologi penilaian serta metrik dan TSC bagi sektor tenaga di bawah Piawaian Tambahan.
Susulan perundingan itu, menurutnya ATB berhasrat untuk memuktamadkan TSC bagi sektor tenaga pada awal 2024.
“TSC bagi lima lagi sektor di bawah Piawaian Tambahan akan dikeluarkan secara berperingkat, dengan TSC untuk kesemua enam sektor tumpuan akan dimuktamadkan menjelang 2025,” katanya.
-- BERNAMA
Comments