• newsatmy

Atlet Selangor cemerlang di Sukan SEA, Komanwel 2022 terima insentif


KLANG,7 Sept: Seramai 28 atlet Selangor semalam menerima insentif kemenangan berjumlah RM92,900 susulan pencapaian cemerlang mereka di Sukan SEA Hanoi 2022 dan Sukan Komanwel Birmingham 2022.


Insentif itu disampaikan oleh Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dalam satu majlis di Istana Alam Shah di sini yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari.


Kerajaan negeri melalui Majlis Sukan Negeri Selangor telah memperuntuk pemberian insentif sebanyak RM59,900 bagi Sukan SEA Hanoi dan RM33,000 bagi Sukan Komanwel Birmingham sebagai menghargai jasa serta penglibatan penggiat sukan di Selangor.

Pemain beregu badminton wanita M. Thinaah merupakan penerima insentif terbesar yang menyaksikan beliau membawa pulang RM22,000 kerana menyumbang dua pingat emas Sukan Komanwel 2022.

Atlet kelahiran Klang itu berkata insentif tersebut sedikit sebanyak memberi semangat kepadanya untuk terus berlatih bagi menghadapi perlawanan akan datang.


"Sumbangan ini juga merupakan motivasi untuk atlet Selangor dan kami amat gembira serta menghargai insentif ini," katanya kepada media.


Bagi atlet lontar peluru para negara Muhammad Ziyad Zolkefli, insentif itu dapat memberi motivasi kepada atlet untuk terus berjuang dalam industri sukan dan mencapai prestasi lebih baik.

"Insentif ini juga akan menyuntik semangat rakan-rakan atlet yang masih di bawah dan akan berusaha untuk mencapai kemenangan di kejohanan akan datang," katanya yang meraih pingat gangsa di Sukan SEA ke-31.


Menurutnya pada tahun ini, beliau memberi tumpuan pada sesi latihan bagi menghadapi pelbagai kejohanan termasuk Sukan SEA, Sukan Para ASEAN dan Sukan Para Asia bermula Mei 2023.

-- BERNAMA