top of page
  • newsatmy

ATM sentiasa pantau keselamatan, pertahanan siber

17 Mei 2021

KUALA LUMPUR: Aspek keselamatan dan pertahanan siber Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa dipantau setiap masa dalam memastikan segala ancaman yang mengganggu rangkaian komunikasi pertahanan ATM dapat ditangani, kata Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Affendi Buang.


Beliau berkata tindakan serta langkah-langkah sewajarnya yang perlu dilaksanakan oleh pentadbir sistem siber sebagai langkah menangani apa juga kemungkinan tindak balas serangan siber oleh anasir asing yang boleh mengganggu pengoperasian sistem siber ATM serta Kementerian Pertahanan.


"Adalah ditegaskan bahawa ATM sentiasa memantau dan mempertingkat aspek keselamatan siber dari semasa ke semasa melalui peranan yang digerakkan oleh Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan (BSEP) serta Pusat Operasi Pertahanan Siber ATM (CDOC).


"BSEP dan CDOC bukan sahaja memperkukuh rangkaian pemantauan dan pertahanan komunikasi ATM malah melindungi rangkaian komunikasi strategik pertahanan negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata arahan dan langkah yang dikeluarkan CDOC yang tular menerusi media sosial sebelum ini adalah arahan amalan biasa untuk peringatan.


Semalam, tular menerusi media sosial mengenai satu arahan dalaman ATM menyatakan ATM perlu meningkatkan pertahanan siber negara ekoran ancaman siber dari Israel.


– BERNAMA

bottom of page