• newsatmy

Axiata yakin cadangan penggabungan Celcom-Digi akan diluluskan

9 April 2021

KUALA LUMPUR: Axiata Group Bhd dan Telenor Asia, syarikat induk Digi.com Bhd, "cukup yakin" cadangan penggabungan antara Celcom Axiata Bhd and Digi akan mendapat kelulusan.


Syarikat itu berkata, kelulusan tersebut termasuklah daripada badan kawal selia serta pemegang saham Celcom dan Digi.


Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Datuk Izzaddin Idris berkata sentimen itu disokong oleh penglibatan beliau sendiri dan naib presiden eksekutif dan ketua Telenor Asia Jorgen C. Arentz Rostrup dalam rundingan penggabungan yang sedang berlangsung sekarang.


"Ia adalah mandat atau tanggungungjawab yang diberikan oleh pemegang saham kedua-dua syarikat kepada kami.


"Dan ia juga merupakan mandat bagi kami untuk memastikan penggabungan dapat berjalan dengan lancar dan efektif, dan memastikan kami tidak kehilangan bahagian pasaran kami, tetapi dalam masa yang sama meraih bahagian pasaran," katanya pada taklimat media, di sini, hari ini.


Axiata dan Telenor Asia mencadangkan penggabungan Celcom dan Digi untuk menjadi sebuah syarikaat yang dikenali sebagai Celcom Digi Bhd (MergeCo).


--BERNAMA