top of page
  • newsatmy

Aziz: Gantung parlimen bukan idea baik sama ada pada 1969 atau 2021

22 Mac 2021

Langkah menggantung parlimen selama dua tahun ekoran ketegangan kaum pada 1969 bukanlah idea yang baik ketika itu, justeru ia tidak wajar diulangi sekarang, kata pakar perlembagaan.


Bekas pensyarah Universiti Islam Antarabangsa yang kini menjadi Adun pembangkang di Perak, Abdul Aziz Bari, berkata masih banyak persoalan yang belum terjawab di sekitar pelaksanaan darurat kira-kira 52 tahun dulu.


"Sehingga kini insiden itu masih diselubungi misteri.


"Mungkin kerajaan patut mengubah status semua dokumen yang berkaitan dengannya kerana ia sudah berlaku lebih 50 tahun lalu," katanya kepada Malaysiakini melalui pesanan mesej.


Abdul Aziz yang juga naib pengerusi DAP Perak berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Takiyuddin Hassan semalam.


Menurut Takiyuddin semasa darurat berlangsung selama dua tahun mulai 1969 tiada sidang parlimen diadakan namun perjalanan pentadbiran kerajaan tidak berdepan masalah.


Sekarang pula, kata setiausaha agung PAS itu lagi, parlimen baru saja bersidang kira-kira tiga bulan lalu untuk meluluskan belanjawan dan ia dianggap tidak menimbulkan masalah.


Untuk rekod sepanjang tempoh negara berada dalam darurat dulu, Malaysia ditadbir oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran).


Antara isu yang perlu dijelaskan kata Abdul Aziz ialah siapa yang menasihatkan Yang di-Pertuan Agong agar darurat diisytiharkan pada 1969 sama ada perdana menteri ketika itu - Tunku Abdul Rahman Putra - atau timbalannya - Abdul Razak Hussein - serta alasan ia diperlukan.


"Tunku dalam memoirnya Before and After May 13 bersikap kritikal terhadap keseluhan hal itu.


"Ringkasnya, bergantung kepada darurat pada 1969 mungkin bukan langkah yang baik.


"Sama macam sekarang - tidak mengadakan sidang parlimen pada 1969 adalah keputusan yang buruk dan ia tidak sepatutnya dicontohi," katanya. - MK



bottom of page