top of page
  • newsatmy

Azizulhasni, Shah dalam fasa latihan berat

2 Mac 2021


KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang dan Shah Firdaus Sahrom ketika ini masih dalam fasa latihan berat dengan kedua-dua pelumba berbasikal trek negara itu dijadual menyertai Kejohanan Kebangsaan Australia 2021 di Velodrom Anna Meares, Brisbane, penghujung bulan ini.


Kedua-dua pelumba yang sedang dalam fasa latihan keras di Australia itu bakal menjadikannya sebagai pentas latihan utama meskipun pernah melakar kemenangan pingat emas dan gangsa dalam acara keirin di kejohanan berkenaan, Disember lalu.


"Pada bulan ini, ada kejohanan Australia di Brisbane dan saya berharap ia tidak dibatalkan (disebabkan COVID-19)," kata Azizulhasni ketika ditanya mengenai kejohanan seterusnya selepas Shah Firdaus meraih kemenangan di Kejohanan Keirin Victoria, kelmarin.


Dalam perlumbaan itu, Azizulhasni meraih pingat perak sekali gus mengulangi penamat 1-2, sama seperti di Kejohanan Trek Elit Victoria dua minggu lalu yang menyaksikan pelumba dari Dungun, Terengganu itu meraih kemenangan manakala Shah Firdaus di tempat kedua.


Ditanya mengenai sasarannya di Brisbane nanti, Azizulhasni berkata, beliau mengharapkan satu lagi kejayaan diraih di sana seperti pada Disember lalu.


"Pada waktu itu (di Brisbane nanti), masih dalam fasa latihan berat lagi. Fasa yang menggunakan kekuatan namun kami akan tetap bersaing sebagai (pentas) perlumbaan ujian," katanya yang bakal membuat penampilan keempat di Olimpik selepas Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016.


Temasya di Olimpik Rio lima tahun lalu menjadi kenangan paling indah buat pelumba berusia 33 tahun itu apabila meraih pingat gangsa dalam acara keirin.


"Sudah tentu akan buat yang terbaik (di Brisbane) dan saya berharap boleh berada di pentas podium lagi seperti tahun lalu," kata Azizulhasni atau yang dikenali dengan julukan 'The Pocket Rocketman itu.


- Berita Harian

bottom of page