top of page
  • Writer's pictureNihaba

#AzminLetakJawatan

6 Jun 2021

Nama Dato Seri Azmin Ali atau nama penuhnya Mohamed Azmin Ali bukanlah suatu nama yang asing di dalam dunia politik tanah air. Mungkin ramai hanya tahu pergerakan beliau ketika aktif melaungkan reformasi dan menjadi orang nombor dua di dalam Parti Keadilan Rakyat di belakang Datuk Seri Anwar Ibrahim, kehidupan awal beliau terus menjadi tanda tanya di kalangan generasi muda.


Mohamed Azmin Ali dilahirkan pada 25 Ogos 1964 di Singapura. Beliau memulakan pelajarannya di Sekolah Gurney Road (2) dan kemudiannya di Sekolah Tinggi Setapak. Beliau menyambung pelajaran beliau di Universiti Minnesota, Amerika Syarikat dan mempunyai kelulusan Sarjana Muda Ekonomi dan Matematik. Beliau berkahwin dengan Shamsidar Taharin, dan dikurniakan enam cahaya mata, iaitu tiga lelaki dan tiga perempuan.


Pada tahun 1987, Mohamed Azmin yang berusia berusia 23 tahun pada ketika itu dilantik sebagai pegawai khas kepada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim dan seterusnya menjadi setiausaha sulit kepada Anwar apabila Anwar menjadi Timbalan Perdana Menteri. Selepas Anwar didapati bersalah atas kes rasuah dan liwat pada tahun 1998, Azmin menjadi salah seorang pengasas Parti Keadilan Nasional. Di dalam Pilihan Raya Umum 2008, Azmin bertanding sebagai calon PKR di kerusi Parlimen Gombak dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa dan telah memenangi kedua kerusi tersebut dengan majoriti 6867 dan 1381 masing-masing. Pada November 2010, beliau kemudiannya dilantik menjadi Timbalan Presiden PKR dan memegang jawatan tersebut hinggalah peristiwa Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi Pilihanraya Umum yang ke 14, dilantik sebagai Menteri Ekonomi, menjadi watak utama di dalam pembentukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan sentiasa sinonim dengan langkah Sheraton yang menggemparkan kancah politik tanah air satu ketika dahulu.


Ketika negara dilanda krisis pandemik Covid-19 dan sudah pelbagai fasa undang-undang dan akta yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara yang diketuai oleh Menteri Pertahanan iaitu Dato’ Sri Ismail Sabri bin Yaakob bermula dengan PKP, diikuti dengan PKPD, seterusnya PKPB, dan bila penularan dapat dikawal, dilaksanakan pula PKPP. Malangnya momentum tidak dapat dikekalkan, kenaikan kes mendadak berlaku menjelang dan selepas PRN Sabah, kembali kepada PKPB dan PKPD dan yang terbaru, Darurat Kesihatan diisytiharkan dan seterusnya perlaksanaan PKP3.0 bermula sebelum Hari Raya Aidilfitri baru-baru ini sehinggalah sekarang, rakyat telah mula melalui suatu keadaan yang dipanggil pandemic fatigue. Kenapa ia berlaku adalah tidak lain dan tidak bukan berpunca daripada kelesuan dan keletihan rakyat di dalam mematuhi langkah-langkah pencegahan atau SOP yang dikuatkuasakan secara berterusan tanpa ada tanda-tanda untuk berakhir.


Implikasinya, rakyat mula mencari asbab untuk melepaskan kekecewaan mereka dengan mengecam mereka yang majoritinya terdiri daripada menteri dan timbalan menteri, Exco Kerajaan Negeri dan tidak ketinggalan juga golongan artis dan selebriti menjadi mangsa amarah rakyat gara-gara kecewa dan letih dengan perlaksanaan pelbagai SOP namun tiada titik noktahnya.


Azmin Ali juga tidak terkecuali. Gara-gara dituduh gagal berfungsi dengan baik dan boleh diharapkan sebagai Menteri yang mengetuai Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti). Rentetan rakyat yang menyuarakan ketidak puasan hati mereka terhadap kebenaran beroperasi ketika PKP3.0 seolah-olah tidak seperti ‘Total Lock Down’ dan masih terlalu banyak pergerakan industri yang dibuka dan dibenarkan beroperasi yang dijangka akan menggagalkan usaha kerajaan untuk membendung dan mengawal penularan virus Covid-19.


Rakyat letih dan muak kerana dipaksa mengikuti dan mematuhi pelbagai SOP yang dikenakan sedangkan MITI sewenang-wenangnya meluluskan kebenaran operasi industri. Statistik terdahulu dijadikan rujukan yang menunjukkan secara jelas penularan yang tinggi berlaku di tempat kerja dan kilang, dan bukan berpunca daripada rakyat kebanyakan.


Ini yang selalu dijadikan modal oleh sebahagian besar rakyat sehinggakan pada hari ini telah wujud suatu petisyen #AzminLetakJawatan yang telah ditandatangani secara maya oleh 195,544 orang. Angka yang boleh dikira sangat tinggi di dalam menyatakan desakan menggesa Azmin meletakkan jawatannya susulan dakwaan terdapat kebenaran operasi perkhidmatan tidak perlu semasa total lockdown PKP Penuh berlangsung.


Isu semakin hangat diperkatakan apabila hantaran Facebook "saya dah tutup pintu depan" yang dibuat Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri kelmarin mengundang perhatian orang ramai. Walaupun kemudian dinafikan Ismail ada maksud lain disebalik hantaranya itu, ada pihak melihatnya sebagai sindiran berkaitan kebenaran operasi kilang ketika sekatan pergerakan penuh pada masa ini.


Ada juga cakap-cakap di Putrajaya yang mendakwa berlaku ketegangan antara Ismail dengan Azmin Ali dalam mesyuarat kabinet sebelum ini. Ketegangan itu didakwa sumber berpunca daripada tindakan saat akhir Miti untuk mengawal permohonan bagi kebenaran untuk beroperasi ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) pada masa ini. Ditambah pula dengan isu syarikat arak beroperasi ketika PKP yang akhirnya Ismail Sabri arahkan ia ditutup, kata sumber itu lagi.


Sementara itu, Azmin Ali di dalam kenyataannya dengan Astro Awani meminta rakyat agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung hantaran dibuat Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob di media sosial. Beliau juga mengeaskan sebagai satu pasukan, beliau bersama jemaah menteri lain sentiasa memberi kerjasama dan sokongan dalam memastikan penularan COVID-19 dapat ditangani bersama. Tambahnya lagi, Ismail Sabri antara ahli jemaah menteri yang telah diberi peranan penting dalam menangani dan menguruskan masalah COVID-19 sejak awal negara kita diserang pandemik ini dan merupakan salah satu jurucakap bagi pihak kerajaan selain Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah untuk isu kesihatan. Respons itu sekali gus menggambarkan tiada timbul isu berlaku pertelagahan antara dua pemimpin kanan kerajaan itu setakat ini.


Mengulas dakwaan rakyat yang mahu Azmin Ali meletakkan jawatan atas sebab gagal berfungsi dengan baik sebagai Menteri yang bertanggungjawab mengendalikan MITI, dakwaan ini hanya boleh dijawab secara fakta dan bukti dan bukanlah berdasarkan retorik semata-mata. Jika dilihat pada angka dan peratusan yang dibekalkan kerajaan, hanya sejumlah 21.8 peratus surat kebenaran beroperasi telah diluluskan melalui COVID-19 Intelligent Management System (CIMS) setakat ini oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan daripada 586,308 perniagaan dengan 10.2 juta pekerja yang telah berdaftar dengan CIMS, hanya 128,150 surat kebenaran beroperasi yang telah dicetak melibatkan 1.57 juta pekerja di seluruh Malaysia. Daripada angka tersebut dapatlah kita membuat rumusan yang hampir 80 peratus perniagaan tidak dibenarkan untuk beroperasi. Angka ini sangat tinggi dan menunjukkan komitmen menyeluruh pihak kementerian.


Kita juga perlu memahami yang MITI ini bukanlah pengendali tunggal surat kebenaran beroperasi seperti yang digembar gemburkan mahupun dalam memutuskan sesuatu sektor perniagaan dianggap penting atau sebaliknya. Surat kebenaran beroperasi oleh CIMS 3.0 hanya dikeluarkan setelah kementerian-kementerian yang mengawal selia sektor yang dibenarkan beroperasi, memberi pengesahan kepada MITI dan sehingga kini, 15 Kementerian telah menggunakan sistem CIMS 3.0 bagi memudahkan proses penilaian permohonan kebenaran untuk beroperasi di bawah sektor masing-masing. Daripada apa yang difahami, setelah kementerian-kementerian mengesahkan permohonan-permohonan tersebut, syarikat berkenaan boleh terus mencetak surat kebenaran beroperasi melalui CIMS 3.0.


Juga terdapat beberapa Kementerian seperti MAFI dan yang menggunakan sistem kelulusan kebenaran bekerja yang diselaras oleh MAFI. Kementerian Pengangkutan turut menggunakan sistem dalaman Sistem SMILE (Sistem Maklumat Industri Logistik) bagi tujuan yang sama. Maka, di sini jelas yang surat kelulusan untuk beroperasi bukan sahaja dikeluarkan oleh MITI setelah mendapat pengesahan daripada kementerian-kementerian yang menggunakan CIMS 3.0, tetapi ada juga yang dikeluarkan oleh Kementerian lain. Isu ini terjawab sudah dan gesaan untuk mendesak Azmin meletakkan jawatan melalui petisyen yang telah dibuat di change.org tidaklah relevan dan tidak bertepatan setelah meneliti fakta-fakta di atas.


Masih tidak berpuas hati? Maka soalan seterusnya pasti berbunyi dengan maksudnya sistem dibolosi dan kelulusan diberi walaupun berada di bawah sektor yang tidak dibenarkan beroperasi. Ini lebih kepada penguatkuasaan. Jika pihak berwajib setelah meneliti surat yang dikeluarkan oleh CIMS 3.0, masih ragu-ragu, boleh sahaja membuat aduan dan kritikan kepada MITI. Tidak perlu tunggu pihak berwajib membuat aduan, kita sebagai rakyat yang prihatin dan sayangkan negara boleh sahaja membuat aduan secara langsung kepada MITI. Malah pihak kementerian telahpun mewujudkan unit penguatkuasaan bersama dengan kerjasama agensi penguatkuasa yang lain dalam memantau dan mengawal pelaksanaan SOP PKP 3.0 secara telus, kondusif dan menyeluruh.


Sedarilah bahawa satu jari anda menunjuk kepada orang lain, empat jari lagi menunjuk kepada diri sendiri. Bermuhasabah dan lihat diri kita terlebih dahulu. Adakah kita warganegara Malaysia yang saying dan cintakan negara? Adakah kita patuh pada perintah kawalan pergerakan dan SOP yang telah ditetapkan? Hanya kita sahaja yang boleh menjawabnya.



Mohamed Nizam Bin Hassan.

bottom of page