• newsatmy

Bajet 2020: Cukai Makmur bantu biaya kos kesihatan negara - Tengku Zafrul

31 OKTOBER 2021

KUALA LUMPUR: Langkah kerajaan mencadangkan pelaksanaan Cukai Makmur dalam Bajet 2022 yang diumumkan semalam, berupaya membantu membiayai kos kesihatan negara yang tinggi dalam meneruskan usaha memerangi pandemik COVID-19.


Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata keputusan itu juga diambil selepas kerajaan menjalankan kajian teliti selain turut mendapat persetujuan kalangan pakar dalam bidang tersebut.


"Kita mahu mengambil pendekatan yang holistik (menyeluruh). Di negara lain, ia digelar sebagai cukai progresif atau kemakmuran...jadi kita hanya lihat kepada syarikat-syarikat yang mendapat keuntungan luar biasa ketika pandemik itu," katanya dalam program wawancara khas 'Bajet 2022 Dari Rakyat Untuk Rakyat' yang disiarkan di Bernama TV dan Astro AWANI, malam tadi.


Menjelaskan selanjutnya, Tengku Zafrul berkata susulan kajian tersebut, kerajaan berpendapat bahawa syarikat yang meraih keuntungan melebihi RM100 juta akan dikenakan cukai pendapatan pada kadar 33 peratus secara 'one-off' bagi tahun taksiran 2022.


Bagi RM100 juta pertama, cukai pendapatan sebanyak 24 peratus dikenakan kepada syarikat tempatan terbabit.


Menurutnya, cadangan cukai tersebut juga merupakan hasil daripada beberapa sesi perjumpaan Kementerian Kewangan dengan pelbagai pihak termasuk golongan belia yang membangkitkan aspek pungutan cukai serta kaedah pelaksanaannya.


"Antara cadangan yang diterima termasuk keperluan cukai keuntungan luar biasa dan cukai keuntungan modal dan kita telah menimbang kedua-duanya.


"(Namun) cukai keuntungan modal itu agak susah sedikit untuk dilaksanakan kerana memberi kesan buruk terhadap pasaran saham dan kita juga mempunyai pelabur asing serta pelabur tempatan seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja, Permodalan Nasional Bhd, Tabung Haji dan Lembaga Angkatan Tentera," katanya.


Menurut Tengku Zafrul, negara-negara jiran juga tidak mengambil pendekatan mengenakan cukai keuntungan modal ke atas syarikat-syarikat tempatan masing-masing.


Mengulas cukai keuntungan luar biasa, beliau berkata ini juga antara cadangan yang dibangkitkan pada sesi perjumpaan kementerian.


"Ada yang mencadangkan supaya ianya dikenakan ke atas syarikat pengeluar sarung tangan.


"Bagaimanapun, jika kita lihat dari segi prinsip, (tindakan) mengenakan cukai keuntungan luar biasa ke atas satu-satu industri ini akan menjejaskan kemasukan FDI (pelaburan langsung asing).


"Ini kerana pelabur-pelabur asing akan berfikiran bahawa mereka akan turut dikenakan cukai sekiranya mendapat keuntungan yang berlebihan," katanya.




-- BERNAMA