• Nihaba

Bajet 2022 Beri Fokus Kepada Pembangunan Sektor Agrikomoditi Bersasar

31 Oktober

KUALA LUMPUR,— Bajet 2022 yang dibentangkan semalam memberi fokus kepada pembangunan sektor agrikomoditi yang lebih bersasar, demikian menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK).


Menterinya Datuk Zuraida Kamaruddin berkata antara sektor agrikomoditi yang bakal menerima manfaat daripada Bajet 2022 adalah peruntukan RM35 juta bagi Skim Rangsangan Tanam Semula Sawit Pekebun Kecil dan pelaksanaan Program Transformasi Perusahaan Getah Negara untuk menyatukan pekebun kecil, usahawan getah dan koperasi kecil bagi memproses getah sekerap kepada getah krip.

“KPPK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kepercayaan dengan peruntukan yang telah diberikan bagi memacu pertumbuhan industri agrikomoditi negara ke tahap yang lebih tinggi,” katanya.


Menurutnya, kementerian itu bersedia melaksanakan program serta inisiatif ke arah pengukuhan ekonomi negara untuk memulihkan kehidupan, membina semula daya tahan dan memangkin pembaharuan terutamanya membina semula kehidupan pasca COVID-19.


Secara keseluruhan, beliau berkata sebanyak RM671 juta diperuntukkan kepada KPPK di bawah Bajet 2022 iaitu RM417.5 juta untuk perbelanjaan mengurus kementerian, manakala RM254 juta bagi perbelanjaan pembangunan.

“Walaupun jumlah ini menurun sebanyak 7.95 peratus berbanding peruntukan 2021, kementerian percaya ia menunjukkan keyakinan kerajaan ke atas harga komoditi yang lebih stabil sepanjang 2022,” kata Zuraida.