Bajet 2022: Sektor pelancongan akan diberi keutamaan - Tengku Zafrul
3 Oktober 2021
BERA: Sektor pelancongan antara yang akan diberi keutamaan dalam pembentangan Bajet 2022 pada 29 Oktober nanti, kata Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, sektor pelancongan merupakan yang paling terkesan akibat COVID-19 dengan kerugian RM1.35 bilion dicatatkan pada 2020 dan dianggarkan meningkat kepada RM1.65 bilion tahun ini.
Tambah Tengku Zafrul, selain itu sektor membabitkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang turut terjejas akibat COVID-19 turut akan diberi perhatian dalam Bajet 2022.
"Semua sektor yang terkesan akibat pandemik COVID-19 akan diberi tumpuan terutamanya sektor seperti pelancongan dan peruncitan. Kita telah membuktikan selama ini sektor-sektor ini memang amat terkesan, termasuk PKS juga.
"Yang inilah (sektor) yang akan diberi perhatian dalam Bajet 2022," katanya.
Tengku Zafrul berkata demikian ketika ditemui media selepas mengadakan lawatan kerja di Kampung Orang Asli Limbahan, Tasek Bera pada Sabtu.
Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata, ekonomi negara dijangka pulih pada tahun hadapan setelah banyak sektor ekonomi kembali dibuka.
"Kalau kita lihat Malaysia pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kita pada tahun ini diunjurkan antara tiga hingga empat peratus sementara unjuran yang diumumkan oleh IMF pada tahun 2022 adalah lima hingga enam peratus.
"Ini menunjukan ekonomi kita akan pulih dan bertambah baik pada tahun hadapan," katanya.
Comments