• Nihaba

Bajet 2022 Selari Dengan Prioriti Yang Digariskan Dalam RMK-12

30 Oktober

KUALA LUMPUR,— Bajet 2022 yang di bentangkan hari ini dengan peruntukan terbesar dalam sejarah adalah selari dengan prioriti dan perancangan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMKe-12) kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar dengan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dianggarkan tumbuh pada kadar tiga hingga empat peratus tahun ini dan 5.5 hingga 6.5 peratus tahun depan serta dalam defisit fiskal 6.5 peratus tahun ini, namun kerajaan berjaya merangkakan bajet tertinggi.


Mustapa berkata beliau gembira apabila peruntukan pembangunan dinaikkan 22 peratus kepada RM75 bilion bagi tahun depan daripada RM61 bilion pada tahun ini.

“Ia juga selaras dengan prioriti dalam RMKe-12 untuk memperuntukkan 50 peratus daripada jumlah pembangunan asas kepada enam negeri kurang maju terdiri dari Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis bagi merapatkan jurang antara negeri dan bandar.

“Mengikut perincian, peruntukan kepada enam negeri kurang maju ini berjumlah 52.6 peratus. Sabah diperuntukkan RM5.2 bilion dan Sarawak RM4.4 bilion,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini selepas pembentangan Bajet 2022 oleh Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Mengulas mengenai peruntukan yang diberikan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), Mustapa berkata menerusi RMKe-12, PMKS disasarkan menyumbang 45 peratus kepada KDNK dan 25 peratus kepada eksport negara menjelang 2025 dan ia perlu diperkasakan.


“Oleh itu pengumuman Semarak Niaga Keluarga Malaysia dengan peruntukan RM40 bilion adalah sangat dialu alukan.

“Sejumlah RM40 bilion diperuntukkan kepada PMKS di mana daripada jumlah tersebut RM1.8 bilion diperuntukkan untuk mikro dan informal yang akan disuntik melalui pelbagai kaedah antaranya penyuntikan ekuiti, peruntukan melaui TEKUN, Agrobank, BSN dan sebagainya,” katanya.

Menurutnya, kerajaan prihatin terhadap masalah PMKS yang terjejas akibat daripada krisis ekonomi walaupun sekarang telah ada tanda-tanda pemulihan kerana ekonomi telah dibuka.

“Kerajaan melalui pelbagai libat urus jelas akan permasalahan PMKS untuk mendapatkan akses pembiayaan, dan dengan kaedah baharu yang dirancang bagi memperluaskan akses kepada kredit, kita yakin pemulihan yang telah dilihat pada PMKS dapat dimantapkan lagi,” katanya.

Sementara itu, menyentuh mengenai Cukai Makmur yang dicadangkan dalam Bajet 2022, Mustapa berkata semua langkah cukai kerajaan ini dijangka menjana kenaikan hasil lebih RM5 bilion.


Menurutnya, walaupun terdapat cadangan agar cukai luar biasa (Windfall Tax) dikenakan terhadap syarikat yang mengaut keuntungan besar semasa pandemik, namun kerajaan berpandangan ia akan turut menjejaskan iklim pelaburan negara.

Oleh itu, jelas beliau, Cukai Makmur yang bersifat “one off” (sekali) itu adalah lebih adil kerana ia bukan hanya meliputi syarikat tertentu sahaja tetapi merangkumi semua syarikat yang berpendapatan bercukai melebihi RM100 juta.

“Sumbangan ini agak besar daripada syarikat yang menikmati pendapatan bercukai lebih RM100 juta.

“Ini perkara lebih adil dalam kita menghadapi masalah negara yang perlukan sumber kewangan. Jadi seharusnya syarikat yang berjaya memberi sumbangan dan ia hanya “one off” dan bukan berterusan, di samping ia tidak akan menjejaskan iklim pelaburan,” tambahnya.