top of page
  • Writer's pictureNihaba

Bajet 2023 beri tumpuan pemulihan ekonomi selepas COVID-19 - Mustapa


JELI,25 Sept: Kerajaan akan memberi tumpuan kepada usaha pemulihan ekonomi negara dalam Bajet 2023 yang akan dibentang di Dewan Rakyat pada 7 Okt ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.


Beliau berkata sebelum ini tumpuan diberikan kepada sektor kesihatan dan apabila hampir selesai COVID-19 tumpuan menjurus kepada pemulihan ekonomi negara.


"Tugas utama Perdana Menteri dan seluruh Kabinet ialah memastikan inflasi terkawal, peluang pekerjaan terus diwujudkan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dapat terus dibantu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampian Sumbangan Pelajar Cemerlang SPM, STPM dan STAM Sekolah dalam kawasan Parlimen Jeli di Pejabat Khidmat Dato' Pa, Bukit Nangka, di sini hari ini.


Mengulas lanjut, Mustapa yang juga Ahli Parlimen Jeli berkata belanjawan merupakan rancangan ekonomi jangka pendek yang memerlukan transformasi.


"Kita harus perkenalkan langkah-langkah pembaharuan, jika kita terus dengan langkah lama kita tidak akan berjaya.


"Ia (ekonomi) menjadi tumpuan utama kita, apa yang kurang kita akan perbaiki, kita memberi jaminan kerajaan akan memberikan tumpuan kepada isu-isu mengukuhkan ekonomi supaya rakyat dapat hidup selesa.


Katanya kerajaan juga mahu mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada semua termasuk golongan muda.


"Apa yang penting, kita mahu memastikan ekonomi kita akan tumbuh sebagaimana ditetapkan iaitu 5.6 hingga 6.4 peratus," katanya.

-- BERNAMA

bottom of page